47 kontraktor di Sabah dituduh terlibat rasuah tempoh 2018-2020

47 kontraktor di Sabah dituduh terlibat rasuah tempoh 2018-2020

TAWAU : Seramai 47 kontraktor telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi tempoh 2018-2020 melibatkan tuduhan memberi rasuah untuk memperolehi kontrak.

Daripada statistik itu, seramai 23 kontarktor Kelas F dan G telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana rasuah serta mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen.

Pengarah SPRM Sabah, Karunanithy Subbiah berkata jumlah kontraktor yang disabitkan kesalahan rasuah di negeri ini sangat membimbangkan dan perlunya ada program kesedaran supaya perkara ini tidak berlaku lagi.

“Program pencegahan awal harus dijalankan bagi membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini daripada terus menular di kalangan kontraktor-kontraktor lain.

“SPRM Sabah tidak mahu hanya menangkap dan membawa mereka ke muka pengadilan, kita perlu ada langkah pencegahan dan pendidikan supaya perkara ini tidak berlarutan kepada sebilangan besar kontraktor,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam program Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor dalam menangani rasuah yang dianjurkan bersama SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan CIDB, di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya memberikan fokus forum bersama kontraktor ini kerana ada sesetengah mereka yang menganggap perkara tersebut sebagai isu kecil sedangkan ianya sangat serius.

“Sekiranya dituduh dan didapati bersalah, akan memberi impak yang besar dalam perniagaan mereka dan peluang untuk meneruskan di dalam bidang tersebut akan terjejas.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah untuk menyediakan pentas dialog bersama mereka dalam memberikan penerangan lengkap terhadap perkara yang patut dielakkan oleh setiap kontraktor,”katanya.

Karunanithy menasihatkan agar para kontraktor sentiasa mematuhi peraturan, polisi, undang-undang dan spesifikasi yang dinyatakan dalam kontrak.

“Jangan mengambil mudah perkara tersebut kerana isu seperti dokumen palsu adalah kesalahan yang sangat mudah dikesan untuk dibawa ke muka pengadilan,”katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata program yang dilaksanakan oleh SPRM Sabah merupakan usaha yang baik untuk menangani rasuah daripada terus berleluasa dan menjadi barah dalam masyarakat.

“Saya menyeru agar banyak lagi agensi kerajaan mahupun sektor swasta yang tampil bersama SPRM untuk melaksanakan program seumpama ini supaya lebih ramai yang memahami bahayanya rasuah kepada mereka dan negara.

“Rasuah juga turut memberi kesan daripada sudut ekonomi, sosial mahupun politik dan program seperti ini juga dapat menyajikan kepentingan integriti dalam sesebuah organisasi,”katanya.

Nizam yakin dengan adanya program seumpama ini, semua pihak akan memperoleh keyakinan dan pemahaman yang jelas berkaitan beberapa isu yang berlaku.

“Saya berharap semua masyarakat di daerah ini terus berganding bahu bersama-sama SPRM dalam membanteras gejala rasuah terutamanya bagi menjadikan daerah Tawau bersih rasuah,”katanya.

oleh Hamzah Sanudin

CATEGORIES
Share This