AGROBANK ANJUR FESTIVAL DURIAN – SOKONG PELUANG SUMBER KEKAYAAN BARU NEGARA

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Agrobank hari ini buat julung kalinya menganjurkan Festival Durian Agrobank iaitu satu inisiatif Bank yang dijalankan bagi membuka ruang dan mempromosikan sumber kekayaan baru negara berasaskan durian sekaligus memperluaskan jaringan serta rantaian hubungan perniagaan kepada agropreneur menerusi industri durian.

Festival ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) sambil disaksikan oleh YB Tuan Sim Sze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, YBhg Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, YBhg Dato’ Dr. Ammar Abd Ghapar, Pengarah Kanan, Bahagian Domestik Dan Acara, Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta pengunjung yang hadir ke festival ini.

Selain menyambut ulang tahun ke-50 Agrobank, program ini dirangka untuk berkongsi dengan agropreneur serta pengunjung yang hadir mengenai peluang dan prospek yang ditawarkan menerusi industri durian tempatan. Program ini memberi ruang buat para pelanggan yang hadir untuk berinteraksi dan berhubung terus dengan pegawai Agrobank bagi mendapatkan penerangan dan maklumat tentang solusi perkhidmatan kewangan untuk bisnes durian. Fokus info menjurus kepada pembiayaan Perbadanan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) sempena pengisytiharan bulan September sebagai Bulan Pembiayaan PKS baru-baru ini.

Menurut Khadijah Iskandar, Festival Durian Agrobank ini dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan khususnya MOA untuk menggalakkan lebih ramai agropreneur menceburkan diri di dalam industri durian negara tambahan pula, durian adalah antara satu sumber kekayaan baru yang boleh diterokai agropreneur.

“Berkonsepkan ‘Durian Sebagai Perniagaan’, festival pada hari ini bukan sahaja untuk menikmati kelazatan raja buah ini, malah untuk mengenengahkan agropreneur durian untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Untuk makluman, ramai agropreneur berasaskan durian telah kami bantu dengan jumlah keseluruhan pembiayaan mencecah RM90 juta khusus untuk industri durian ini sahaja,” ujar Khadijah.

“Agrobank berharap agar agropreneur dapat mengambil peluang yang ditawarkan untuk meluaskan empayar perniagaan kerana ia mampu membuka ruang kepada agropreneur untuk membantu menggerakkan perniagaan berasaskan durian ke peringkat antarabangsa,” tambah Khadijah lagi.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sempena Festival Durian Agrobank seperti jualan durian murah, demo masakan, persembahan nyanyian oleh Datuk Ramli Sarip, permainan, ruang pameran dan banyak lagi.

Mengenai Agrobank

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.

Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.

Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 192 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 138 cawangan, 1 perbankan agro, 1 perbankan maya, 10 pusat pembiayaan komersial, 34 kiosk, 8 sudut & pusat agro.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

CATEGORIES
Share This