AirAsia tingkat kapasiti penerbangan domestik sebanyak 156 peratus sejak Okt 2021

AirAsia tingkat kapasiti penerbangan domestik sebanyak 156 peratus sejak Okt 2021

KUALA LUMPUR,. Susulan pelonggaran berterusan sekatan perjalanan, AirAsia meningkatkan kapasiti penerbangan domestiknya sebanyak 156 peratus sejak Oktober 2021 dan sebanyak 50 peratus bagi penerbangan antarabangsa sejak kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan pada 1 April, dengan sejumlah 75 pesawat beroperasi pada masa ini dalam seluruh kumpulan.

“Ini juga disokong oleh pembukaan semula negara lain seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Vietnam,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Meskipun syarikat penerbangan ini kini mempunyai beberapa perkhidmatan antarabangsa yang sudah beroperasi, pengumuman pembukaan semula negara akan memberikan rangsangan yang dialu-alukan bagi menyokong kapasiti tambahan dalam kebanyakan pasaran antarabangsa seiring dengan permintaan pendam yang ketara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) Bo Lingam berkata syarikat itu baru-baru ini melancarkan empat laluan domestik baharu di Malaysia, dari Kuching ke Langkawi, Pulau Pinang ke Sibu, Johor Bahru ke Bintulu, dan Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu tahun ini.

“Di peringkat serantau, kami telah melihat perkembangan yang sama menggalakkan untuk perkhidmatan domestik dan antarabangsa di Thailand, Filipina dan Indonesia. Kami akan terus menyemak rangkaian kami yang berkembang berdasarkan beberapa faktor termasuk permintaan. Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat memandangkan dunia terus dibuka semula secara beransur-ansur,” katanya.

Sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa, syarikat penerbangan itu berkata tetamu boleh berharap untuk berhubung semula dengan rakan dan keluarga serta menyemarakkan keinginan mereka ke destinasi popular, termasuk Singapura, Vietnam, Filipina, India, Thailand, Indonesia, Maldives, Brunei, Kemboja, Sri Lanka, Laos, Bangladesh dan banyak lagi dari serendah hanya RM89 sehala, manakala laluan domestik dijual daripada hanya RM39 sehala.

“Tempah penerbangan anda pada pilihan ‘Penerbangan’ dalam aplikasi airasia Super App mulai sekarang hingga 27 Mac 2022, untuk perjalanan antara 1 April 2022, hingga 25 Mac 2023,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This