Aktiviti dagangan Bursa Malaysia kekal rancak pada 2021 – RHB IB

Aktiviti dagangan Bursa Malaysia kekal rancak pada 2021 – RHB IB

KUALA LUMPUR,. Aktiviti dagangan Bursa Malaysia Bhd dijangka kekal rancak pada tahun ini, didorong oleh penyertaan runcit yang berterusan dan putaran sektor kepada sektor kitaran, menurut RHB Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu berkata nilai harian purata sekuriti (SADV) dan jumlah harian purata derivatif (DADV) bursa akan kekal tinggi pada 2021, walaupun sederhana dari tahun lepas, penyertaan runcit yang masih kukuh dan putaran sektor kepada sektor kitaran akan mengekalkan dagangan.

“Jangkaan SADV kami pada 2021 sebanyak RM3.15 juta mengandaikan normalisasi 26 peratus tahun ke tahun dari tahun 2020 yang luar biasa, tetapi masih lebih tinggi daripada paras dagangan sebelum COVID-19, iaitu 30 peratus lebih tinggi daripada purata SADV pada 2017-2019,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bursa Malaysia mengakhiri minggu dagangan pertama tahun 2021 dengan SADV sebanyak RM5.36 bilion dengan jumlah nilai dagangan sebanyak RM26.79 bilion.

RHB Investment Bank menganggarkan jumlah nilai dagangan dan SADV pada suku keempat 2020, masing-masing kekal kukuh sebanyak RM319 bilion dan RM4.98 bilion.

“Walaupun SADV susut 14 peratus suku ke suku berbanding paras lebih tinggi pada suku ketiga, ia masih mencatatkan pertumbuhan 143 peratus tahun ke tahun, menolak kebimbangan mengenai kekurangan mudah tunai, terutamanya dalam kalangan pelabur runcit, selepas moratorium,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This