Aktiviti nelayan haram China meningkat di perairan Korea Selatan

Aktiviti nelayan haram China meningkat di perairan Korea Selatan

HONGSEONG, 5 Okt — Aktiviti menangkap ikan secara haram dilakukan bot China di perairan Korea Selatan semakin berleluasa, dengan kes dilaporkan meningkat dua kali ganda dari 2017 hingga 2019.

Ahli parlimen Hong Moon-pyo pada Isnin berkata jumlah kes bot ditahan atau diusir mencecah 6,543 pada 2019.

Jumlah itu menunjukkan kenaikan 113 peratus berbanding 3,074 pada 2017, lapor agensi berita Yonhap. Beliau memetik data Kementerian Laut dan Perikanan dan Pengawal Pantai Korea.

Pada 2020, sebanyak 4,603 kes dilaporkan dalam tempoh Januari-Ogos.

Beliau menyifatkan langkah-langkah pencegahan oleh pihak berkuasa maritim Korea Selatan semakin lemah.

Walaupun jumlah kapal China yang ditahan pada 2017 menurun dari 278 hingga 195 pada 2019 namun, kes bot diusir tanpa penalti meningkat mendadak dari 2,796 kepada 6,348. Hanya lima kapal yang ditahan dari Januari hingga Ogos tahun ini.

“Dengan menahan dan mengenakan denda terhadap kapal nelayan haram, kerajaan boleh membasmi penangkapan ikan secara haram. Tetapi pemerintah kemungkinan akan berdepan tindak balas dari China,” kata Hong.

Anggota parlimen pembangkang itu menuntut pihak berkuasa mengambil langkah tegas terhadap kegiatan penangkapan ikan secara haram yang mengancam kehidupan pekerja industri perikanan tempatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This