BAM ajak pemain profesional berlatih bersama

BAM ajak pemain profesional berlatih bersama

KUALA LUMPUR,. Pemain badminton negara dijangka kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada 1 Jun ini tertakluk kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan hari ini, berkata peringkat pertama latihan akan membabitkan pemain yang berada dalam program Road To Tokyo (RTT).

Katanya, selepas pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, BAM sudah pun membuat persiapan dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menyambut kepulangan pemain ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sekali gus memastikan keselamatan pemain, jurulatih dan pegawai terjaga.

“Demi kepentingan negara dan badminton Malaysia, saya juga membuat keputusan menjemput pemain profesional yang hampir pasti layak ke Sukan Olimpik Tokyo (berdasarkan kedudukan ranking semasa Persekutuan Badminton Dunia) untuk menjalani latihan di ABM bermula pertengahan Julai sebanyak dua kali seminggu.

“Sebaik mereka mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo, mereka akan dijemput menjalani latihan secara sepenuh masa di ABM.

“Saya berharap pemain akan mengambil peluang ini untuk bekerja sebagai satu pasukan mewakili Malaysia dan dalam masa bekerja keras bagi mencapai impian layak ke Sukan Olimpik Tokyo,” katanya.

Program latihan skuad badminton negara terpaksa ditangguhkan hampir dua bulan berikutan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu susulan pandemik COVID-19.

Antara pemain profesional yang hampir layak ke Tokyo adalah beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016.

Beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut berpeluang melayakkan diri ke Tokyo.

Dalam pada itu, Norza turut memaklumkan persiapan skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas/Uber 2020 di Aarhus, Denmark yang berlangsung 3 hingga 11 Oktober depan dijangka bermula 15 Jun.

“Bagi memastikan pemain terbaik mewakili Malaysia, saya juga menjemput pemain profesional menyertai pasukan bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

“Pemain profesional yang terpilih akan dijemput untuk menjalani latihan di ABM bermula pertengahan Julai depan,” kata Norza.

CATEGORIES
TAGS
Share This