Banjir: Enam negeri terjejas, bilangan mangsa meningkat dalam tempoh 24 jam

Banjir: Enam negeri terjejas, bilangan mangsa meningkat dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR,. Sebanyak enam negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Kelantan dilaporkan terkesan dengan bencana banjir sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan 10 daerah, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam kenyataan hari ini ia memaklumkan bilangan mangsa pula meningkat daripada 1,359 kepada 2,388 orang dalam tempoh 24 jam yang sedang ditempatkan di 25 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Peningkatan mangsa signifikan ditunjukkan di daerah Pasir Mas, Kelantan sementara kebanyakan PPS lain di enam negeri lagi menunjukkan trend menurun dan tidak berubah,” menurut kenyataan itu.

NADMA berkata lapan PPS baru dibuka, masing-masing tiga di Johor dan Kelantan manakala satu di Pulau Pinang dan Perak manakala tujuh PPS ditutup semalam dan hari ini iaitu kesemua lima PPS di Kedah dan masing-masing satu di Perak dan Selangor sehingga 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, agensi berkenaan memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat pada 3 petang tadi bagi beberapa kawasan di Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Johor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Katanya notis itu menunjukkan tiga sungai dengan bacaan air berada di paras bahaya iaitu Long Jegan, Miri di Sarawak; Rantau Panjang, Pasir Mas di Kelantan dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka.

Lapan sungai dilaporkan berada di tahap amaran iaitu Long Teru dan Marudi di Miri, Sarawak; Sungai Sertim di Jambatan Padang Gudang di Bera, Pahang; Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor; Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai, Sungai Lenik di Segamat serta Parit Keliling di Kampung Pasir, Johor Bahru; dan Sungai Linggi di Port Dickson, Negeri Sembilan.

NADMA berkata penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Orang awam diminta merujuk maklumat terkini daripada sumber yang sahih melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This