Beri ruang kepada Rafizi supaya keputusan tidak dibuat tergopoh-gapah

Beri ruang kepada Rafizi supaya keputusan tidak dibuat tergopoh-gapah

KULIM,. Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli perlu diberikan ruang untuk berfikir lebih mendalam sama ada ingin terus kembali ke arena politik ataupun sebaliknya supaya keputusan itu tidak dibuat secara tergopoh-gapah.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan Mohd Rafizi itu sama seperti dilakukan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, dengan pendekatan mereka berbeza dengan seseorang yang bersikap untuk berebut jawatan dan kekayaan.

“Dia (Mohd Rafizi) sudah lama banyak membantu dan saya faham (keadaan) dia seperti Nurul Izzah. Kadang-kadang merasa kekacauan (kekecewaan) kerana mereka mengharapkan sesuatu yang lebih positif berlaku, dan kita beri masa kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Keadilan Kedah dan Perlis di sini hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Semalam, Mohd Rafizi dilaporkan berkata beliau tidak berminat untuk kembali aktif berpolitik buat masa sekarang, dan mengatakan dalam tempoh tiga ke empat tahun ini beliau hanya mahu menjadi rakyat biasa.

Presiden PKR itu berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan memujuk kedua-dua pemimpin berkenaan kerana kepakaran mereka amat diperlukan PKR.

Dalam pada itu, Anwar berkata mandat diperoleh P. Prabakaran sebagai Ahli Parlimen Batu harus dihormati, manakala Naib Presiden PKR Tian Chua pula merupakan pemimpin parti yang penting dan utama.

Beliau, bagaimanapun berkata isu pengosongan kerusi Parlimen itu bagi memberikan laluan kepada Tian Chua perlu dibincangkan secara rundingan mengikut saluran dalam parti.

“Perkara ini boleh dirundingkan tetapi setakat ini dalam pertemuan terakhir saya dan Tian Chua, perkara ini tidak dibangkitkan lagi. Kita boleh bincang dalam saluran parti. Kita tidak perlu suatu hal yang mengeruhkan suasana…setakat ini tak timbul,” katanya.

Sebelum ini, 14 badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya Prabakaran mengosongkan kerusi Parlimen itu untuk memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan berkenaan.

Cadangan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Nov lepas membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah tidak sah, sekali gus beliau layak bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This