Malaysia catat jumlah kemasukan dana asing yang rendah sebanyak RM23.5 juta

KUALA LUMPUR, 27Jan — Pelabur asing merupakan pembeli bersih dalam pasaran ekuiti tempatan minggu lepas, mencatatkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM23.48 juta, dari 20 hingga 23 Jan berbanding RM63.66 juta dari 13 hingga 16 Jan, dalam persekitaran pasaran yang masih lemah ekoran kebimbangan mengenai penularan wabak coronavirus novel 2019.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar penyertaan institusi asing dan tempatan masing-masing sebanyak 18.4 peratus dan 54 peratus berbanding 25.08 peratus (institusi luar) dan 46.91 peratus (institusi tempatan) dalam tempoh yang sama pada minggu sebelumnya.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata pasaran kekal berhati-hati terhadap coronavirus yang berpunca dari Wuhan, China, sepanjang minggu lepas, menjelang cuti Tahun Baharu Cina.

“Saham berkaitan penjagaan kesihatan dan sarung tangan membuat keuntungan positif sepanjang minggu ini,” katanya sambil menambah bahawa pasaran juga bertindak balas terhadap langkah mengejutkan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus .

Berikutan penurunan itu, Mohd Afzanizam berkata saham berkaitan perbankan terjejas ekoran kebimbangan mengenai kemunculan semula margin faedah bersih masing-masing.

Pada 22 Jan, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM menurunkan OPR sebagai langkah awal untuk memastikan peningkatan trajektori pertumbuhan di tengah-tengah kestabilan harga.

Dalam kenyataan, bank pusat berkata risiko penurunan kekal disebabkan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan an dasar di beberapa negara, walaupun pelonggaran monetari merentasi ekonomi utama pada separuh kedua 2019 telah membantu meringankan kedudukan kewangan dan dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi .

“(Ketegangan dan ketidaktentuan) ini boleh menyebabkan kemunculan semula ketidakenutan dalam pasaran kewangan dan menjejaskan prospek pertumbuhan global,” menurut BNM.

Berikutan penurunan kadar faedah penanda aras, kadar siling dan kadar lantai koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

Dr Afzanizam berkata pasaran akan terus memberi perhatian kepada tahap penularan coronavirus.

Khamis lepas, jawatankuasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kedudukan semasa tidak menunjukkan ‘kecemasan kesihatan awam antarabangsa yang membimbangkan’.

Namun, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyeus berkata beliau akan mengadakan pertemuan semula dengan jawatankuasa itu dalam tempoh beberapa hari sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

Minggu ini, pasaran juga menyaksikan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS bermula esok, bagi melihat penilaian ekonomi oleh Rizab Persekutuan, terutama selepas menandatangani perjanjian perdagangan fasa pertama antara AS-China pada 15 Jan.

“Oleh itu, sentimen kini bercampur-campur. Mungkin FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berada dalam jajaran yang kecil minggu depan (minggu ini),” kata Mohd Afzanizam.

FBM KLCI dijangka didagangkan di antara 1,551 dengan 1,580 mata dalam tempoh terdekat disebabkan tekanan untuk aliran menaik.

— BERNAMA

Oleh Siti Noor Afera Abu

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )