Bersatu harap tiada lagi pihak timbul polemik politik

Bersatu harap tiada lagi pihak timbul polemik politik

IPOH, 22 Okt — Parti Bersatu berharap tiada lagi mana-mana pihak akan mencetuskan polemik politik bagi memastikan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjalan lancar demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata parti itu menyambut baik gencatan politik yang diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam seterusnya menyatakan untuk menyokong PN.

Menteri Besar Perak itu berkata rakyat pada ketika ini amat mengharapkan bantuan dan sokongan daripada kerajaan dalam semua aspek lebih-lebih lagi ketika berdepan kesan penularan wabak COVID-19.

“Saya harap tiada lagi pemimpin yang mendakwa itu, ini dan mengambil masa Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap, (dakwaan) menubuhkan kerajaan dan sebagainya.

“Selain itu, rakyat juga nak tahu bagaimana kerajaan nak memulihkan ekonomi, membuka peluang pekerjaan serta perniagaan dan sebagainya. Jadi ini fokus yang saya kira semua pemimpin patut sambut baik,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak 2020 di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid menerusi satu kenyataan menjelaskan UMNO mengambil pendirian mendukung kerajaan PN dalam memberi tumpuan terhadap agenda membantu rakyat dan negara berdepan pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Ahmad Zahid berkata langkah itu diambil bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This