Bursa dibuka tinggi pada pagi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat sewaktu pasaran dibuka pada pagi Rabu, namun susut berikutan aktiviti pengambilan untung membabitkan kaunter saham wajaran tinggi terpilih yang mencatat kenaikan baru-baru ini, kata peniaga.
Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.05 mata kepada 1,603.43 berbanding 1,601.38 pada akhir dagangan Isnin namun susut kepada 1,600.49 selepas 15 minit dagangan dijalankan.
Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 262 berbanding 233 manakala 374 kaunter tidak berubah, 1,349 tidak diniagakan manakala enam lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 660.88 juta unit bernilai RM310.27 juta.
Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum sambutan Hari Kebangsaan.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata kenaikan indeks penanda aras itu bagi sesi ketujuh berturut-turut sebaliknya berkemungkinan disusuli dengan kekangan apabila pasaran memberi reaksi sebelum lebih banyak sektor menunjukkan tahap pemulihan yang ketara berdasarkan petunjuk berlakunya belian berlebihan.
“Bagaimanapun, kami yakin aktiviti pembukaan semula perniagaan ini dapat memberi impak baik terhadap ekonomi apabila lebih banyak negeri beralih ke Fasa Tiga dan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam nota penyelidikan pada hari ini.
Menurutnya, FBM KLCI meningkat kepada paras utama 1,600 pada Isnin lepas susulan minat belian berterusan dana asing terhadap saham wajaran tinggi yang disifatkan sebagai reaksi terhadap isyarat positif pasaran serantau dan Wall Street selain perkembangan kadar vaksinasi di Malaysia.
“Kami menjangkakan kadar vaksinasi itu akan mendorong sektor yang mencatat pemulihan dengan tumpuan melibatkan perbankan, sektor berkaitan pengguna dan segmen bahan binaan.
“Selain itu, kaunter emas misalnya akan mendapat tumpuan berikutan aliran peningkatannya melebihi AS$1,800 seauns,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM8.40, Public Bank turun 5.0 sen kepada RM4.13, Tenaga Nasional susut 8.0 sen kepada RM10.38, IHH Healthcare susut 10 sen kepada RM6.30 manakala Petronas Chemicals naik 10 sen kepada RM8.40.
Bagi saham aktif, Borneo Oil dan Vortex Consolidated masing-masing naik setengah sen kepada 3.5 sen dan 8.5 sen manakala Bintai Kinden meraih 2.5 sen kepada 50.5 sen dan P.A. Resources menokok 3.5 sen kepada 44.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 34.01 mata kepada 11,593.86, Indeks FBMT 100 naik 37.65 mata kepada 11,305.26 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 48.64 mata kepada 12,701.82.
FBM 70 berkurangan 9.49 mata kepada 15,013.97 dan FBM ACE susut 10.85 mata kepada 7,234.05.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 28.12 mata kepada 6,723.13 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.27 mata kepada 15,575.54 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.06 mata kepada 199.44.
– Bernama