Bursa Malaysia catat kenaikan semula untuk dibuka tinggi

Bursa Malaysia catat kenaikan semula untuk dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, seiring dengan kebanyakan prestasi pasaran Asia, disokong oleh keyakinan yang semakin bertambah terhadap prospek ekonomi yang kukuh, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras meningkat 18.76 mata kepada 1,595.38 daripada 1,576.62 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 13.97 mata lebih tinggi kepada 1,590.59.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 455 berbanding 156 manakala 301 kaunter tidak berubah, 1,231 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 764.20 juta unit bernilai RM445.70 juta.

Menurut Malacca Securities penjualan di FBM KLCI pada Isnin boleh dilakukan secara berlebihan memandangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 justeru, pasaran keseluruhannya boleh mencatatkan pemulihan pada Selasa.

“Mengenai saham berkaitan sarung tangan, kami yakin prestasi kewangan positif Hartalega dapat memberi kesan limpahan sokongan belian terhadap pembuat sarung tangan dan proksi sarung tangan hari ini.

“Bagaimanapun, pelabur boleh kekal berhati-hati sebelum data Indeks Harga Pengeluar Malaysia dikeluarkan esok. Memandangkan dana asing beralih kepada situasi penjualan, kenaikan semula dijangka berdepan aktiviti pengambilan untung dalam jangka terdekat,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank menambah 21 sen kepada RM4.47, Maybank naik 8.0 sen kepada RM7.96, Petronas Chemicals menokok 2.0 sen kepada RM6.92, TNB menambah 13 sen kepada RM9.78 sementara Top Glove turun 6.0 sen kepada RM6.46.

Bagi saham aktif, Fintec naik setengah sen kepada 8.0 sen, Key Asic dan QES masing-masing meningkat 2.0 sen kepada 11 sen dan 38.5 sen, sementara DNeX tidak berubah pada 30 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 125.19 mata kepada 11,515.74, Indeks FBMT 100 melonjak 123.59 mata kepada 11,258.59 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 66.58 mata kepada 12,959.16.

FBM 70 menambah 126.52 mata kepada 14,750.74 dan FBM ACE meningkat 111.32 mata kepada 10,781.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 274.76 mata kepada 14,839.50, Indeks Perladangan menambah 31.31 mata kepada 7,215.77 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.88 mata kepada 171.68.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This