Jam pintar Garmin Venu dilancar di Malaysia

Jam pintar Garmin Venu dilancar di Malaysia

KUALA LUMPUR,. Garmin melancarkan produk terbarunya di Malaysia – Garmin Venu – berharga RM1,799.

Eksekutif Pemasaran Aeco Technologies (M) Sdn Bhd Dickson Cheah berkata peranti itu adalah jam pintar yang dilengkapi dengan sistem kedudukan global (GPS) dan pemantau kecergasan yang tidak akan menjejaskan fesyen pemakainya berdasarkan talinya yang boleh ditukar ganti.

Aeco Technologies (M) Sdn Bhd adalah pengedar sah tempatan Garmin.

“Produk ini mempunyai ciri-ciri sukan dan fesyen yang terbaik. Sebelum ini, kekuatan kami terletak pada bahagian sukan tetapi kami mula melangkah dalam bidang fesyen dan gaya hidup dalam beberapa tahun ini.

“Kami mahu menyasarkan golongan muda, pengembara dan mereka yang aktif dalam sukan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut di sini hari ini.

Cheah berkata dengan Garmin Venu, pemakainya dapat menjejaki waktu tidur mereka, kadar denyutan jantung, langkah-langkah yang diambil sehari, tahap tekanan dan bagi wanita, ia juga menawarkan penjejakan kitaran haid menerusi aplikasi Garmin Connect.

Mengenai hayat bateri, beliau berkata Garmin Venu boleh bertahan sehingga lima hari pada mod jam pintar, manakala mod GPS dengan muzik boleh bertahan sehingga enam jam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This