Bursa Malaysia dibuka dalam sentimen positif

Bursa Malaysia dibuka dalam sentimen positif

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, disokong oleh sentimen positif susulan pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia, selain menjejaki aliran harga meningkat di pasaran saham US.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.47 mata kepada 1,578.42 berbanding 1,576.95 pada Selasa.

Indeks dibuka 1.65 mata lebih tinggi kepada 1,1578.60.

Kedudukan pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 147 berbanding 82, manakala 180 kaunter tidak berubah, 1,596 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 92.56 juta saham bernilai RM49.83 juta,.

“Projek Bandar Malaysia, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM140 bilion, merupakan permulaan yang baik untuk sektor infrastruktur memandangkan limpahannya akan turut dilihat dalam sektor lain, termasuk perkhidmatan kewangan dan pembinaan,” kata Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee.

Sementara itu, tiga indeks penanda aras di Amerika Syarikat mencatatkan keuntungan lima hari berturut-turut, disokong oleh data ekonomi yang positif dan kelegaan hasil perdamaian dalam perang perdagangan Presiden Donald Trump dengan China.

Dow Jones Industrial Average meningkat 0.1 peratus, manakala berdasaran kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan S & P 500 meningkat 0.6 peratus, didorong oleh keuntungan dalam sektor pilihan pengguna.

Nasdaq juga meningkat 0.1 peratus.

Sepanjang hari, Malacca Securities Sdn Bhd berkata aktiviti membeli semasa harga rendah dijangkakan berterusan di FBM KLCI, ekoran keyakinan pelabur ke atas perjanjian ‘ fasa pertama’ antara US-China, yang akan ditandatangani pada Januari 2020.

“Kelegaan berterusan dalam perdagangan, selain sentimen positif merentas ekuiti global, mungkin memberikan ruang kepada FBM KLCI untuk meningkatkan keuntungannya, mengekori momentum yang kukuh dalam kalangan bursa serantau.

“Kami jangkakan indeks utama berkemungkinan akan terus menyaksikan penurunan, namun akan mengukuh pada tahap 1,558 hingga 1,579 dalam tempoh terdekat,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Ia berkata pergerakan melepasi paras 1,579 boleh mendorong indeks utama meningkat lebih tinggi ke tahap rintangan seterusnya pada 1,590.

Dalam pada itu, tahap 1,550 akan menjadi paras sokongan utama.

Bagi saham wajaran tinggi, Top Glove meningkat 13 sen atau 2.79 peratus kepada RM4.79, Hartalega menambah enam sen kepada RM5.28, Petronas Dagangan meningkat 24 sen kepada RM23.24 manakala Sime Darby menokok lima sen kepada RM5.40.

Bagi saham aktif, Ekovest dan I-Stone masing-masing naik satu sen kepada 87 sen dan 25.5 sen, GDB menambah tiga sen kepada 61 sen, Foundpac meningkat 2.5 sen kepada 81.5 sen manakala IWCity menokok tiga sen kepada RM1.01.

Saham Ekovest dan IWCity yang dikaitkan dengan projek Bandar Malaysia, masing-masing dikuasai Tan Sri Lim Kang Ho.

Kaunter paling untung, F&N meningkat 66 sen kepada RM34.00 dan Heineken menambah 28 sen kepada RM26.78, diikuti oleh Petronas Dagangan.

Indeks FBM Emas meningkat 7.47 mata kepada 11,236.84, Indeks FBM Emas Shariah menambah 11.22 mata kepada 11,893.94 manakala Indeks FBMT 100 menokok 7.64 mata kepada 11,034.80.

Sementara itu, FBM Ace menambah 15.48 mata kepada 5,069.55, namun FBM 70 susut 0.80 mata kepada 14,074.50.

Mengijkut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 10.55 mata kepada 15,266.73, Indeks Perladangan melonjak 40.32 mata kepada 7,582.89, namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.06 dari satu mata kepada 152.41.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This