Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia meneruskan keuntungan semalam untuk dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada kerancakan prestasi semalaman Wall Street yang berterusan, didorong oleh kenaikan dalam sektor teknologi dan penjagaan kesihatan, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 6.24 mata kepada 1,543.87 daripada 1,537.63 semasa penutupan urus niaga petang Selasa. Indeks utama dibuka 5.52 mata lebih tinggi pada 1,543.15.

Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan agak negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 177 berbalas 159 manakala 268 kaunter tidak berubah, 1,671 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 291.33 juta unit bernilai RM111.71 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, berikutan lantunan semula dicatatkan FBM KLCI semalam, dijangkakan tahap jangka pendek telah dicapai dan pelabur sudah menerima cadangan Cukai Makmur secara ‘óne-off” dan perubahan kadar duti setem nota kontrak.

“Secara keseluruhannya, kesan pendapatan negatif mungkin lebih rendah daripada jangkaan, justeru, aktiviti membeli saham ketika harga rendah akan muncul.

“Selain itu, dengan pengukuhan Wall Street, kami berpendapat minat belian mungkin turut memanfaatkan saham teknologi di pasaran tempatan,” tambahnya.

Bagi prestasi harga komoditi pula, harga minyak sawit mentah (MSM) berjaya mengekalkan julat dagangan antara RM4,800 dan RM5,000, manakala minyak Brent masih berada melepasi paras AS$84.

Sehubungan itu, untuk tumpuan sektor, pelabur mungkin meninjau saham bertema pemulihan dengan hanya berbaki tidak sampai dua bulan saja sebelum berakhirnya 2021 dengan saham teknologi dijangka meningkat, dirangsang oleh sentimen kukuh Wall Street, manakala pasaran secara keseluruhan disokong oleh kegiatan membeli ketika saham berharga murah dalam tempoh terdekat ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM8.03, Public Bank dan Tenaga masing-masing meningkat dua sen kepada RM4.06 dan RM9.62, Petronas Chemicals menokok lima sen kepada RM8.33 dan IHH Healthcare mengembang 13 sen kepada RM6.59.

Bagi saham aktif, Nexgram naik setengah sen kepada 2.5 sen, Sedania meningkat tujuh sen kepada 70 sen, TA Win susut setengah sen kepada 15 sen, Dagang Nexchange turun 1.5 sen kepada 81 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 30.69 mata kepada 11,429.18, Indeks FBMT 100 menambah 27.66 mata kepada 11,044.68, Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 30.36 mata kepada 12,487.95, dan FBM ACE meningkat 6.74 mata kepada 7,129.21 tetapi Indeks FBM lega 5.51 mata kepada 15,079.79.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.63 mata kepada 203.98, Indeks Perladangan susut 4.3 mata kepada 6,838.62, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 52.61 mata kepada 15,232.42.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This