Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Sentimen pasaran yang kekal berhati-hati menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini mendorong Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini.

Prestasi lemah pasaran tempatan turut mengambil petunjuk daripada aliran penurunan semalaman di Wall Street.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.86 mata kepada 1,446.52 daripada 1,448.38 pada penutupan urus niaga Rabu.

Pasaran dibuka rendah 1.82 mata pada 1,446.56.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 133 berbalas 84, manakala 178 kaunter tidak berubah, 1,937 tidak diniagakan dan 47 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 118.29 juta unit bernilai RM108.44 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran tempatan dijangka kekal suram sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat, dengan prestasi pasaran yang lebih sederhana di Wall Street.

“Tumpuan utama terarah kepada keputusan PRU15, dan masih tidak pasti parti mana yang mendahului pada ketika ini.

“Pelabur mungkin memilih saham bersifat defensif merangkumi saham pengguna, telekomunikasi dan utiliti di tengah-tengah persekitaran turun naik pasaran yang kian ketara,” katanya.

Namun begitu, bergerak ke hadapan, firma pembrokeran itu menjangkakan pemulihan menyeluruh mungkin berlaku selepas PRU15 kerana ekonomi semakin bertambah baik seperti yang ditunjukkan dalam keluaran dalam negara kasar suku ketiga Malaysia.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia – Maybank dan Public Bank naik dua sen setiap satu kepada RM8.53 dan RM4.32, CIMB menambah satu sen menjadi RM5.36 manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing pada RM8.62 dan RM5.95.

Antara saham aktif, Advance Synergy dan AHB Holdings meningkat setengah sen setiap satu kepada 12.5 sen dan 11.5 sen, Perdana Petroleum menambah tiga sen kepada 12 sen, manakala Icon Offshore dan Eduspec Holdings tidak berubah pada 14 sen dan dua sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Syariah lemah 24.61 mata menjadi 10,428.20, Indeks FBM Emas berkurangan 11.76 mata kepada 10,283.20, FBM ACE menguncup 20.70 mata kepada 4,976.47, Indeks FBMT 100 lemah 13.61 mata menjadi 10,010.25 dan FBM 70 kerugian 19.71 mata kepada 12,234.34.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 0.01 mata kepada 720.11, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 17.39 mata menjadi 16,106.70 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.04 mata kepada 178.81, manakala Indeks Perladangan susut sebanyak 1.46 mata kepada 6,900.74.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This