Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi meningkat semula kemudiannya, didorong oleh aktiviti belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, sejajar dengan sentimen dalam pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.17 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.26 mata kepada 1,563.84 daripada 1,563.58 semasa ditutup pada Khamis.

Pada pembukaan, indeks barometer susut 2.0 mata kepada 1,561.58.

Di pasaran lebih luas, terdapat 208 kaunter untung dan 131 kaunter rugi, manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,397 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 261.71 juta saham bernilai RM104.52 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata keyakinan terhadap rundingan yang menamatkan kebuntuan dalam pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan terus menggalakkan pemulihan dalam ekuiti global pada masa depan.

“Di peringkat tempatan, kami berpendapat indeks utama akan terus membina asas sekitar paras 1,560 berikutan kami menjangka pemulihan dalam tempoh terdekat selepas merosot baru-baru ini. Bagaimanapun, tanpa pemangkin baharu dapat mengekalkan peningkatan berikutan kenaikan FBM KLCI terus pada kadar yang lebih perlahan daripada bursa serantau, manakala aktiviti pengambilan untung kekal sebagai pilihan.

“Dengan peningkatan yang dijangka terkawal, ia boleh dihadkan pada sekitar paras 1,570-1,580. Sementara itu, paras 1,560 akan menjadi sokongan utama, diikuti paras 1,550, yang juga paras terendah indeks utama baru-baru ini pada Oktober 2019,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.52, Public Bank merosot empat sen kepada RM19.30, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM7.11, CIMB berkurangan dua sen kepada RM5.16 manakala TNB tidak berubah pada RM13.26.

Daripada saham aktif, Nexgram tidak berubah pada satu sen, Ekovest naik satu sen kepada 81 sen, manakala Impiana Hotels dan Sapura Energy, masing-masing susut setengah sen kepada dua sen dan 26 sen.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 13.63 mata kepada 11,666.55, Indeks FBM Emas naik 3.25 mata kepada 11,104.81, FBM 70 menambah 4.28 mata kepada 13,839.223, Indeks FBMT 100 meningkat 2.21 mata kepada 10,913.33 dan FBM Ace naik 25.37 mata kepada 4,870.51.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 39.15 mata kepada 7,272.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 28.01 mata kepada 15,241.69 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.12 mata kepada 149.57.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )