Bursa Malaysia dibuka rendah susulan aktiviti pengambilan untung

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan aktiviti pengambilan untung

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat keuntungan semalam, didorong oleh aktiviti memperelokkan akaun, kata penganalisis.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.55 mata kepada 1,587.56 berbanding 1,599.11 pada penutupan Rabu.

Indeks dibuka 11.98 mata lebih rendah pada 1,1587.13.

Kedudukan pasaran bercampur-campur dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 120 berbanding 106, manakala 189 kaunter tidak berubah, 1,590 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 98.67 juta saham bernilai RM49.74 juta.

Firma pembrokeran saham Malacca Securities Sdn Bhd, berkata pengambilan untung dijangka berterusan menjelang akhir minggu selepas merekodkan keuntungan besar dalam tempoh dua hari lepas.

“Kita sudahpun menyaksikan beberapa penurunan aktiviti dalam kalangan bursa serantau tertentu, dan kelemahan itu boleh meresap ke dalam saham di Bursa Malaysia.

“Ini akan menyaksikan indeks utama disokong pada tahap 1,559, manakala sebarang peningkatan akan dihadkan pada paras 1,610,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata dengan kedudukan terlebih beli yang masih berada pada paras terendah, ia berpendapat bahawa penurunan itu mungkin berterusan ketika pelabur mengambil kira peningkatan baru-baru ini.

“Pada masa yang sama, kami terus memilih sektor pembinaan berikutan pemulihan semula projek-projek infrastruktur mega, manakala harga minyak mentah yang melambung pada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan, mampu menjana minat perdagangan yang lebih kukuh dalam sektor tenaga,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, IHH Healthcare susut 25 sen kepada RM5.68, Maxis turun 11 sen kepada RM5.27, Petronas Chemicals merosot 15 sen kepada RM7.23, Hong Leong Bank turun 34 sen kepada RM17.16 manakala Petronas Gas susut 30 sen kepada RM16.70.

Bagi saham aktif, Yong Tai tidak berubah pada 18 sen, Fitters meningkat 1.5 sen kepada 39 sen dan Datasonic menambah tiga sen kepada RM1.19.

Nestle merosot 50 sen kepada RM143.70, diikuti Hong Leong Bank, Petronas Gas dan IHH Healthcare.

Indeks FBM Emas susut 60.15 mata kepada 11,295.35, Indeks FBM Emas Shariah turun 67.09 mata kepada 11,912.73 manakala Indeks FBMT 100 susut 62.45 mata kepada 11,093.49.

FBM Ace bagaimanapun meningkat 14.05 mata kepada 5,012.43, namun FBM 70 turun 4.42 mata kepada 14,128.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 97.99 mata kepada 15,438.26, Indeks Perladangan turun 54.39 mata kepada 7,503.89 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.03 mata kepada 152.39.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This