Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi peningkatan semalaman pasaran saham Amerika Syarikat yang turut seiring dengan kenaikan ketara dicatatkan oleh pasaran penanda aras China.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.64 mata kepada 1,586.54 daripada 1,576.90 yang dicatat pada Isnin.

Sewaktu dibuka pagi ini, indeks tersebut meningkat 5.13 mata kepada 1,582.03.

Sentimen pasaran secara amnya positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 347 berbanding 90 manakala 252 kaunter tidak berubah, 1,247 tidak diniagakan dan 25 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 468.93 juta saham bernilai RM223.15 juta.

Sementara itu Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata Wall Street ditutup lebih tinggi daripada jangkaan awal berikutan data pekerjaan yang posoitif, sekali gus mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap ekuitinya walaupun negara itu mencatat lonjakan kes jangkitan COVID-19 ketika ini.

Indeks Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) melonjak 460 mata kepada paras 26,300.

Menurutnya, peningkatan itu akan turut menggalakkan aktiviti belian di pasaran serantau hari ini walaupun ini lazimnya disusuli dengan aktiviti pengambilan untung.

“Bagi bursa tempatan, sokongan belian yang kukuh daripada pelabur domestik telah membantu memacu FBM KLCI ke paras lebih tinggi berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka menguji paras 1,600 yang pernah dicatatkan pada Januari lepas.

“Namun, kami juga ingin mengingkatkan bahawa aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku dalam masa terdekat dengan paras sokongan segera di tahap 1.570,” kata firma pembrokeran itu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM7.84, Public Bank menokok enam sen kepada RM17.40, Hartalega menokok 50 sen kepada RM17.00 dan Petronas Chemicals untung empat sen kepada RM6.98.

Tenaga sebaliknya tidak berubah pada RM11.86.

Bagi saham paling aktif, Borneo Oil dan Icon Offshore masing-masing untung satu sen kepada empat sen dan 13.5 sen, DGB Asia naik setengah sen kepada 3.5 sen, Anzo meningkat 1.5 sen kepada 24.5 sen manakala AirAsia susut dua sen kepada 87.5 sen .

Di papan indeks menyaksikan FBM Emas naik 75.13 mata pada 11,163.12, Indeks FBMT 100 menokok 74.25 mata kepada 11,011.77.51 dan FBM 70 melonjak 121.89 mata kepada 13,702.89.

Indeks FBM Emas Shariah Index menokok 109.42 mata kepada 12,843.92 manakala FBM ACE naik 64.38 mata kepada 7,117.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 37.59 mata kepada 13,244.31, Indeks Perladangan menambah 24.52 mata kepada 6,891.16 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meraih 0.78 mata kepada 143.55.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This