Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sejajar dengan indeks global berikutan momentum positif susulan rundingan perdagangan global yang meningkatkan sentimen pasaran.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.95 mata kepada 1,599.29 daripada 1,593.34 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka tinggi 4.94 mata kepada 1,598.28.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 253 berbanding 60, manakala 194 kaunter tidak berubah, 1,453 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 153.71 juta saham bernilai RM64.28 juta.

Sehingga 9.20 pagi, Dow Jones Industrial Average naik 1.11 peratus kepada 27,347.36, Straits Times Singapura meningkat 0.33 peratus kepada 3,240.20, Hang Seng Hong Kong menambah 0.97 peratus kepada 27,100.76 manakala KOSPI Korea Selatan menokok 0.96 peratus kepada 2,120.36.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota ekuitinya hari ini berkata selepas pengukuhan yang sederhana pada Jumaat, indeks utama dijangka menyambung semula pemulihannya dalam masa terdekat, disokong oleh perkembangan positif dalam kebanyakan indeks ekuiti global.

“Sentimen menunjukkan tanda-tanda peningkatan dalam persekitaran rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang positif dan dipantau rapi berikutan ia masih antara penentu terbesar mengenai hala tuju pasaran, berdasarkan implikasinya yang besar terhadap ekonomi global,” katanya.

Selain rundingan perdagangan antara AS dan China, Thailand sebagai pengerusi ASEAN semalam menyatakan bahawa anggota perkumpulan serantau itu komited untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Februari 2020 untuk mewujudkan blok perdagangan terbesar dunia.

Dari segi teknikal, katanya paras halangan akan kekal pada 1,600 mata buat masa ini manakala paras sokongan, masing-masing pada 1,590 dan 1,580.

“Saham berharga rendah dan saham pasaran yang lebih luas kekal berdaya tahan dan meningkat walaupun terdapat aktiviti pengambilan untung. Dengan sentimen yang baik, kami menyaksikan peningkatan dalam masa terdekat dalam kalangan saham permodalan kecil FBM dan indeks teknologi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Digi, Dialog dan Press Metal, masing-masing menambah dua sen kepada RM4.70, RM3.49 dan RM4.74, IHH naik empat sen kepada RM5.66 dan Kuala Lumpur Kepong meningkat lapan sen kepada RM21.76.

Daripada saham aktif, Prestariang naik tiga sen kepada 54 sen, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 26.5 sen manakala Sumatec, Multisport dan NETX, masing-masing tidak berubah pada setengah sen, 1.5 sen dan dua sen.

Indeks FBM Emas naik 46.81 mata kepada 11,326.94, Indeks FBMT 100 meningkat 45.60 mata kepada 11,135.01, FBM 70 menambah 74.73 mata kepada 14,014.65 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 62.28 mata kepada 11,886.66.

FBM Ace naik 12.61 mata kepada 4,992.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.20 mata kepada 15,578.87 dan Indeks Perladangan menambah 31.06 mata kepada 6,78.10, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 0.33 mata kepada 153.52.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This