Bursa Malaysia dibuka tinggi didorong belian semasa harga rendah

Bursa Malaysia dibuka tinggi didorong belian semasa harga rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini didorong pembelian semasa harga rendah susulan aktiviti pengambilan untung semalam.

Pada 9.27 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.08 mata kepada 1,591.96 daripada 1,588.88 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 0.41 mata lebih tinggi kepada 1,589.29 pagi ini.

Lingkungan pasaran keseluruhan di Bursa Malaysia adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 249 berbanding 156, manakala 235 kaunter kekal tidak berubah, 1,347 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 427.32 juta saham bernilai RM201.52 juta.

Peniaga berkata sentimen pasaran secara keseluruhannya positif memandangkan sentimen perdagangan bertambah baik di seluruh dunia selain penyambungan semula projek infrastruktur mega seperti Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 2 Lembah Klang.

“Sentimen positif itu telah menarik dana baharu ke dalam ekuiti Malaysia seperti yang ditunjukkan menerusi peningkatan aktiviti perdagangan, dari segi jumlah dagangan dan nilai,” katanya.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.61, Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM7.02 manakala Public Bank dan Tenaga masing-masing tidak berubah pada RM19.48 dan RM12.94.

Antara saham aktif, Vortex tidak berubah pada 10 sen, Yong Tai naik 1.5 sen kepada 15 sen, manakala TH Heavy Engineering dan Xidelang masing-masing menambah setengah sen kepada 12.5 sen dan 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.60 mata kepada 11,356.71, Indeks FBM Emas Syariah menokok 33.18 mata kepada 12,032.88, Indeks FBMT 100 naik 22.42 mata kepada 11,143.50, FBM 70 menambah 32.16 mata kepada 14,270.67 namun FBM Ace susut 2.86 mata kepada 5,653.85.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.02 mata kepada 153.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.96 mata kepada 15,359.63 serta Indeks Perladangan menambah 6.71 mata kepada 7,496.31.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This