Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan berjajaran kecil minggu

Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan berjajaran kecil minggu

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan berjajaran kecil minggu depan berikutan sentimen pelabur mungkin kekal berhati-hati disebabkan ketidaktentuan pasaran, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata, dana asing dijangka terus membeli saham tempatan untuk memanfaatkan penilaian rendah berbanding dengan bursa-bursa serantau.

“Oleh itu kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengalami aliran berjajaran kecil dan bergerak dalam julat 1,600 hingga 1,620 minggu depan dengan rintangan serta-merta pada 1,618 dan sokongan pada 1,570,” katanya kepada Bernama.

Bagi dagangan yang baru berakhir pada minggu ini, FBM KLCI didagangkan rendah kebanyakannya dalam situasi ketidaktentuan pasaran yang semakin ketara di rantau ini, di samping menjejaki pergerakan di Wall Street dan peningkatan tekanan akibat krisis Rusia-Ukraine.

Dalam perkembangan lain, Bank Negara Malaysia (BNM), dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kedua bagi tahun ini pada Khamis, memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan tidak berubah pada 1.75 peratus.

Menurut bank pusat itu, keseluruhan trajektori pemulihan kekal berada di landasannya meskipun aktiviti ekonomi yang sederhana sedikit baru-baru ini disebabkan oleh penularan semula COVID-19 yang didorong oleh varian Omicron.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 12.22 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,603.94 daripada 1,591.72 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 8.73 mata kepada 11,341.51; Indeks FBMT100 menambah 7.96 mata kepada 11,031.13 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 62.90 mata kepada 12,079.37.

Sementara itu, FBM 70 susut 328.75 mata kepada 13,187.19 dan FBM ACE merosot 440.78 mata kepada 5,508.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 91.41 mata kepada 16,393.23; Indeks Tenaga turun 27.49 mata kepada 739.81 dan Indeks Perladangan melonjak 449.22 mata kepada 8,547.51.

Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 4.57 mata kepada 213.22, Indeks Teknologi kurang 6.67 mata kepada 71.70 dan Indeks Penjagaan Kesihatan naik 2.76 mata kepada 2,082.04.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 16.80 bilion unit bernilai RM17.96 bilion daripada 20.08 bilion unit bernilai RM15.97 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 11.78 bilion saham bernilai RM16.77 bilion daripada 13.63 bilion saham bernilai RM14.56 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM212.45 juta daripada 1.66 bilion unit bernilai RM212.55 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 3.29 bilion saham bernilai RM976.09 juta daripada 4.77 bilion saham bernilai RM1.20 bilion pada minggu sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This