Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal

Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia rendah semasa awal dagangan pada Rabu, dengan indeks utama susut daripada kenaikan yang dialami pada Selasa, berikutan penjualan dalam saham berwajaran tinggi didahului oleh Top Glove.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran, turun 3.49 mata kepada 1,570.53 daripada 1,574.02 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 2.26 mata lebih rendah kepada 1,571.76.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 241 berbanding 186, sementara 333 kaunter tidak berubah, 1,445 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 599.97 juta unit bernilai RM298.18 juta.

Top Glove menyeret indeks komposit turun sebanyak 3.635 mata selepas susut enam sen atau 1.29 peratus kepada RM4.41 dengan 2.44 juta saham diniagakan.

Peniaga berkata, penurunan kes COVID-19 harian baharu di negara ini, dengan jumlah harian kekal di bawah 5,000 bagi dua hari berturut-turut, telah mengurangkan minat terhadap saham sarung tangan getah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi catatan di Twitter berkata sebanyak 4,743 kes dicatatkan pada Selasa, peningkatan sebanyak 232 kes daripada 4,611 yang dilaporkan pada Isnin.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan dengan pasaran saham Amerika Syarikat terus mencatatkan kenaikan semula ditambah dengan peningkatan kadar vaksinasi di Malaysia, minat beli itu mungkin memberi kesan limpahan kepada saham di pasaran tempatan.

“Pelabur dijangka mempunyai sedikit minat belian berterusan di kaunter telekomunikasi dan media susulan pengumuman penggabungan Celcom-Digi.

“Selain itu, peningkatan secara berperingkat kadar vaksinasi harian dijangka memberi sesuatu yang positif kepada sektor bertemakan pemulihan seperti pengguna serta pengangkutan dan logistik,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, PetChem naik dua sen kepada RM8.00, sementara Maybank, Public Bank, Tenaga dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM8.20, RM4.20, RM10.04 dan RM5.75.

Antara saham aktif, Serba Dinamik turun 1.5 sen kepada 61 sen, Saudee naik dua sen kepada 17 sen, Sasbadi menokok 1.5 sen kepada 27 sen, sementara Tanco, Sanichi dan MMAG masing-masing tidak berubah pada 15 sen, lapan sen dan 16 sen.

Pekat Group Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE pada Rabu, mencatatkan kedudukan kukuh dengan premium 53 sen kepada 85 sen, berbanding dengan harga tawaran awam awalnya pada 32 sen, dengan 30.58 juta saham diniagakan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 16.03 mata pada 11,458.59, Indeks FBMT 100 turun 17.0 mata kepada 11,151.0, FBM ACE kurang 3.24 mata kepada 7,619.25 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 28.71 mata kepada 12,567.96.

Bagaimanapun, FBM 70 menambah 7.92 mata kepada 14,873.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.45 mata kepada 15,289.24, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.12 mata kepada 189.57 dan Indeks Perladangan menokok 0.15 mata kepada 6,538.33.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This