Bursa malaysia tinggi pada pagi

Bursa malaysia tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mencatat peningkatan kecil pada sesi awal dagangan Rabu ketika pasaran dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan sejak beberapa hari lalu, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.41 mata kepada 1,540.30 selepas ditutup mencecah paras 1,539.89 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu dibuka pagi ini, indeks itu naik 0.5 mata kepada 1,540.39.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 141 berbanding 106 manakala 206 kaunter lain tidak berubah, 1,858 tidak diniagakan dan 37 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 76.25 juta unit bernilai RM51.69 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota tinjauannya berkata, pasaran juga memantau perkembangan varian Omicron COVID-19 yang biarpun menyebabkan gejala lebih ringan berbanding Delta, namun memberi kesan dari segi pembatalan penerbangan di pelbagai negara susulan lonjakan kes terbabit.

“Berikutan sentimen bercampur-campur mengenai kebimbangan berkaitan Omicron, kami menjangkakan aktiviti pengambilan untung yang sederhana akan berlaku di pasaran domestik.

“Namun, aktiviti dagangan pasaran berkemungkinan pulih susulan perkembangan terbaharu mengenai duti setem dagangan yang boleh mengekang aliran penurunan di pasaran secara meluas,” kata firma pembrokeran itu.

Menurutnya, pada masa sama, minat dagangan dijangka kembali tertumpu kepada saham-saham penjagaan kesihatan ketika ramai peniaga memberi fokus terhadap aktiviti memperelok akaun membabitkan saham wajaran tinggi.

Bagi saham wajaran tinggi, PChem naik dua sen kepada RM8.90, Maybank dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM8.30 dan RM6.76 manakala PBBank susut satu sen pada RM4.17.

Saham aktif menyaksikan Opcom menokok tiga sen kepada RM1.01, DNex dan Scope meraih setengah sen kepada 78 sen dan 27.5 sen manakala Sernkou tidak berubah pada 74 sen dan Ecomate rugi setengah sen kepada 50.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 5.40 mata kepada 11,169.12, Indeks FBMT 100 menokok 4.09 mata kepada 10,868.39 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 17.63 mata kepada 12,029.93.

FBM 70 pula menambah 10.7 mata kepada 14,214.71 dan FBM ACE naik 17.35 mata kepada 6,340.84.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.23 mata kepada 201.26, Indeks Perladangan meraih 8.18 mata kepada 6,585.63 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 20.53 mata kepada 15,551.96.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This