PKPD: Kawasan Sibu Jaya sunyi

PKPD: Kawasan Sibu Jaya sunyi

SIBU,12 Feb — Kawasan Bandar Baru Sibu Jaya hari ini lengang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Pangsa dan Perumahan Town Villa selama 14 hari bermula hari ini.

Tinjauan Bernama di kawasan itu bersama rombongan Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Collin Babat petang ini mendapati tiada kelibat penduduk kelihatan di kawasan berkenaan dan mereka patuh duduk di dalam rumah.

Laluan keluar dan masuk kawasan tersebut juga telah dipasang kawad berduri petang semalam dan terdapat empat pos pemeriksaan didirikan di kawasan itu untuk menempatkan anggota polis serta tentera.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini dilaporkan berkata keputusan pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut dibuat setelah pekan Sibu Jaya mencatatkan 247 kes positif COVID-19 dan 129 kes dilaporkan di kawasan Rumah Pangsa dan Perumahan Town Villa.

Sementara itu, Collin berkata terdapat dua sekatan jalan raya dan empat pos pemeriksaan didirikan di kawasan itu dengan kekuatan lima anggota polis dan 22 anggota tentera.

“Arahan kita jelas, penduduk tidak dibenarkan sama sekali keluar daripada rumah, tiada sebarang pergerakan,” katanya.

Katanya, penduduk di kawasan itu yang kurang sihat dan memerlukan rawatan boleh memaklumkan kepada petugas-petugas barisan hadapan di sana untuk mendapatkan bantuan.

“Penduduk juga tidak perlu bimbang mengenai bekalan makanan sepanjang tempoh PKPD kerana ia memang disedikakan dan ia mencukupi untuk semua isi rumah di kawasan berkenaan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This