Bursa Malaysia turun 5.15 peratus pada awal dagangan, dipengaruhi penjualan di Wall Street
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring dengan indeks penanda aras Asia, berikutan penjualan di Wall Street dalam tempoh semalaman selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.
Susulan pengumuman WHO itu, Purata Perindustrian Dow Jones turun 9.99 peratus, S&P 500 susut 9.51 peratus dan Nasdaq turun 9.43 peratus semasa mengakhiri dagangan masing-masing.
Prestasi itu merupakan penurunan harian paling teruk dialami indeks Dow Jones dan S&P 500 bagi tempoh sejak 1987.
Pada 9.04 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 73.22 mata atau 5.15 peratus kepada 1,346.21 sekali gus menjadi paras terendah sejak 2010, daripada 1,419.43 ketika ditutup semalam.
Indeks tempatan itu dibuka 55.67 mata lebih rendah pada 1,4363.76.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 638 berbanding 31 manakala 79 kaunter tidak berubah, 1,274 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 352.93 juta saham bernilai RM134.52 juta.
Tekanan jualan di Bursa Malaysia pagi ini dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam tempoh semalaman di Wall Street.
Sentimen pasaran juga lemah seperti ditunjukkan FBM Small Cap (-6.08 peratus), FBM ACE (-6.27 peratus) dan Teknologi (-6.94 peratus).
“Saham-saham Malaysia akur kepada tekanan jualan susulan pengisytiharan WHO bahawa COVID-19 adalah satu pandemik.
“Susulan langkah WHO itu, kelembapan global mungkin meningkat melebihi paras 50 peratus (daripada 25 peratus yang dicatatkan sejak awal tahun ini) dan menimbulkan kebimbangan bahawa kesan penularan virus itu mungkin dialami di seluruh dunia,” menurut Malacca Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu berkata selepas penurunan ketara semalam, peningkatan semula dijangka tidak dapat dicatatkan hari ini memandangkan sentimen pelabur masih lemah.
Pada masa yang sama, penjualan asing kekal tidak menentu, sekali gus meningkatkan tekanan jualan ke atas indeks berwajaran tinggi, dengan trend ini mungkin berpanjangan.
“Oleh itu, kami berpendapat paras 1,415 dijangka dicapai semula dan jika gagal, FBM KLCI boleh susut kepada paras 1,400. Kami berpandangan sebarang kenaikan semula pada masa ini adalah amat kecil, terhad kepada paras 1,445 hingga 1,455.
“Wujud juga penangguhan kenaikan bagi saham pasaran meluas berikutan sentimen yang lemah,” menurutnya.
Malacca Securities berkata berdasarkan minat yang semakin suran, tekanan penurunan ke atas saham murah akan terus menjejaskan prestasi harga saham masing-masing bagi jangka terdekat.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 13 sen kepada RM8.15, Tenaga berkurangan 86 sen kepada RM11.56, Public Bank susut 66 sen kepada RM15.54 dan IHH menguncup 12 sen pada RM5.44.
Bagi saham aktif, Vortex Consolidation turun 2.5 sen kepada tiga sen, Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 9.5 sen dan Borneo Oil kurang setengah sen pada dua sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 501.21 mata kepada 9,356.86, Indeks FBM Emas Syariah turun 584.16 mata kepada 9,947.92 dan FBM 70 merosot 605.58 mata kepada 11,077.12.
Indeks FBMT 100 turun 503.10 mata kepada 9,239.21 manakala FBM Ace menguncup 283.20 mata kepada 4,232.57.
Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 8.14 mata kepada 111.30, Indeks Perladangan susut 287.94 mata kepada 5,932.61 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 494.77 mata kepada 13,080.30.
— BERNAMA
Oleh Nurul Hanis Izmir