Bursa saham dibuka lebih tinggi hari ini

Bursa saham dibuka lebih tinggi hari ini

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, dipacu oleh momentum belian dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 9.12 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.71 mata kepada 1,516.98 daripada 1,512.27 pada penutup Isnin, selepas dibuka 3.65 mata lebih tinggi kepada 1,515.92.

Dagangan di Bursa Malaysia disambung semula selepas ditutup selama dua hari pada Selasa dan Rabu untuk cuti umum sambutan Tahun Baharu Cina.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mendahului kaunter rugi 237 berbanding 107, manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,642 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 237.77 juta unit bernilai RM120.53 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia menjangkakan sentimen pasaran akan melantun semula selepas ditutup rendah pada Isnin.

Namun begitu, kenaikan harga mungkin dihadkan dalam tempoh terdekat dengan aktiviti dagangan yang lebih rendah berikutan cuti Tahun Baharu Cina.

“Selain itu, pelabur mungkin memantau Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Markit AS, Malaysia dan zon Euro yang akan dikeluarkan hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank meningkat enam sen kepada RM8.33, Sime Darby Plantation dan Inari Amertron kedua-duanya mengukuh sembilan sen kepada RM3.53 dan RM3.39 dan Genting Malaysia menambah lima sen kepada RM2.78.

Bagi saham aktif, G3 Global kekal pada lapan sen, Dagang Nexchange menokok tiga sen kepada 97 sen, dan OCR Group meningkat 1.5 sen kepada 15 sen.

Di papan indeks, FBM ACE melonjak 50.92 mata kepada 6,141.13, manakala FBM 70 mengukuh 87.94 mata kepada 13,470.40, Indeks FBM Emas menokok 42.02 mata kepada 10,914.25, Indeks FBMT 100 mengembang 41.13 mata kepada 10,610.04 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 39.76 mata kepada 11,608.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 65.01 mata kepada 15,758.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.08 satu mata kepada 201.25, dan Indeks Perladangan meningkat 35.79 mata kepada 6,571.26.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This