COVID-19: 9,020 kes baharu harian, rekod tertinggi semalam – Dr Noor Hisham

COVID-19: 9,020 kes baharu harian, rekod tertinggi semalam – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Jumlah kes baharu harian COVID-19 melepasi angka 9,000 dengan 9,020 kes dilaporkan hari ini, rekod tertinggi sejak pandemik berkenaan menular di negara ini pada Januari tahun lepas.

Berdasarkan hantaran Twitter Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kini sebanyak 558,534 kes.

Selangor kekal menjadi negeri yang menyumbang kepada kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,836 kes diikuti Kelantan dengan 907 kes, Negeri Sembilan (898), Kuala Lumpur (789) dan Sarawak (726).

Johor dan Kedah merekodkan masing-masing 468 kes, Pulau Pinang (345), Melaka (340), Perak (272), Sabah (265), Labuan (253), Pahang (216), Terengganu (189), Putrajaya (29) dan 19 kes di Perlis.

Sementara itu, dalam kenyataannya Dr Noor Hisham berkata sebanyak 61 kes kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah terkumpul 2,552 kes.

Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu 19 kes diikuti Negeri Sembilan (8), Kuala Lumpur (6), Kedah (5), Johor dan Sarawak (masing-masing 4 kes), Perak dan Melaka (masing-masing 3 kes), Pulau Pinang, Kelantan, Labuan dan Terengganu (masing-masing 2 kes), serta satu kes di Sabah.

Sebanyak 4,814 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh sama menjadikan jumlah kumulatif 474,139, manakala kes aktif setakat ini berjumlah 72,823 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, 808 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 403 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata sebanyak 21 kluster baharu dikesan membabitkan masing-masing enam kluster tempat kerja dan komuniti, empat kluster keagamaan, dua kluster pendidikan lain serta masing-masing satu kluster pendidikan tinggi, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

Kluster tempat kerja melibatkan kluster Jalan Satu Olak dan Perusahaan Satu Batu Caves di Selangor; Kemumin (Kelantan); Tapak Bina Wangsa Perdana (Kuala Lumpur); Jalan Hospital Tampoi (Johor) dan Perusahaan Valdor (Pulau Pinang).

Kluster komuniti pula ialah Persiaran Sepang Sebelas (Selangor); Kampung Chekok dan Kampung Teliar (Kelantan); Dah Emas Suria (Kedah); Jalan Padi (Negeri Sembilan) serta Tanjung Kepah (Perak).

Empat kluster keagamaan melibatkan kluster Kampung Chubadak dan Seksyen Dua di Kuala Lumpur; Jalan Kampung Bukit (Pulau Pinang) dan Jalan Seroja Kepis (Negeri Sembilan).

Bagi kluster pendidikan lain membabitkan Sri Gombak Lapan (Selangor) serta kluster Dah Pinang (Kedah); kluster pendidikan tinggi iaitu Bukit Ilmu (Kelantan); kluster kumpulan berisiko tinggi (Tawar Empat di Johor) dan kluster pusat tahanan (DTI Bukit Jalil 2 di Kuala Lumpur).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This