COVID-19: Trump, Biden saling menyerang antara satu sama lain
BEIJING, 16 Okt — Berikut adalah perkembangan terkini mengenai usaha memerangi pandemik COVID-19 di seluruh dunia, lapor agensi berita Xinhua.
Di Washington, Presiden Donald Trump dan pencabarnya dari Demokrat Joe Biden mengadakan sesi dialog awam pada masa lebih kurang sama melalui stesen televisyen berbeza.
Kedua-dua pemimpin itu saling menyerang antara satu sama lain dalam pelbagai isu termasuk tindak balas terhadap pandemik, teori konspirasi QAnon dan Mahkamah Agung.
Menjawab pertanyaan pengundi di Philadelphia, Biden mengecam Trump kerana memandang rendah ancaman COVID-19 yang sehingga kini telah menjangkiti lebih lapan juta dan membunuh 216,000 orang di negara ini.
Di Canberra, Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengumumkan rancangan kerajaan untuk membawa balik puluhan ribu rakyatnya yang terkandas di luar negara.
Di bawah rancangan yang diumumkan pada Jumaat itu, kemudahan Howard Springs di tenggara Darwin akan digunakan sebagai pusat kuarantin untuk 5,000 orang yang pulang dari Britain, India dan Afrika Selatan dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang.
Di Qingdao, China, sebuah bandar pesisir di wilayah Shandong timur China telah menyelesaikan ujian saringan asid nukleik di seluruh bandar yang dihuni 11 juta penduduk, bermula Isnin.
Sehingga 8 pagi Jumaat, lebih 10.16 juta sampel dikumpulkan sudah diuji dan tiada kes positif baharu dilaporkan, kata Datuk Bandar Qingdao Xue Qingguo pada sidang media.
Di Copenhagen, Pengarah Wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk Eropah, Dr Hans Kluge, pada sidang media maya di sini pada Khamis berkata Eropah perlu meningkatkan langkah-langkah pencegahan bersasar untuk mengekang penularan COVID-19.
Menurut Kluge, COVID-19 kini menjadi antara penyebab utama kematian dan negara di Eropah kini sudah mencatatkan 1,000 kematian setiap hari.
— BERNAMA