Dua pelumba Perancis kembali ke LTdL 2020

Dua pelumba Perancis kembali ke LTdL 2020

KUALA LUMPUR,. Selepas tujuh tahun, dua pelumba berpengalaman — Pierre Rolland dan Cyril Gautier dari Perancis akan kembali bertanding dalam edisi ke-25 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dengan satu pasukan baharu jelajah benua, B&B Hotels-Vital Concept.

Human Voyage (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua pelumba itu yang mewakili pasukan Europcar pada edisi 2013, akan bergantung kepada pengalaman luas mereka menyertai kejohanan utama dunia, termasuk Tour de France untuk memberikan aksi menarik pada perlumbaan premier berbasikal Asia yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 15 Feb depan.

Human Voyage ialah penganjur LTdL 2020.

Pada edisi 2013, Rolland, 33 berada di kedudukan ke-20 dalam Klasifikasi Keseluruhan, sementara Gaultier, 32, mengambil keputusan menarik diri selepas terlibat dalam nahas dengan pelumba lain semasa perlumbaan tahunan itu.

Bagaimanapun, rakan sepasukan mereka Bryan Coquard memperoleh keputusan positif dengan memenangi perlumbaan peringkat kelapan dan kesembilan.

Selain kedua-dua mereka, pasukan Perancis yang ditubuhkan pada 2017 itu, juga akan mengetengahkan dua pelumba pecut berusia 28 tahun, Quentin Pacher dan Johan Le Bon, Jeremy Lecroq, 24; dan Justin Mottier, 26.

Perlumbaan berbasikal lapan peringkat yang mencecah usia jubli perak kali ini meliputi jarak 1,114.9 km merentasi Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Setakat ini, 22 pasukan termasuk satu pasukan jelajah dunia, NTT Pro Cycling Team dari Afrika Selatan mengesahkan penyertaan dalam LTdL 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This