Elavarasan mahu anak buah kekal bersemangat

Elavarasan mahu anak buah kekal bersemangat

KUALA LUMPUR,. Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan, tidak mahu kekalahan tipis 0-1 kepada Kuching City FC semalam, melunturkan semangat anak buahnya dalam misi mengejar kejuaraan Liga Premier 2021.

Pengendali berusia 56 tahun itu mengakui segala kemungkinan boleh berlaku dalam baki dua aksi musim ini, yang boleh menyekat misi pasukan berkenaan untuk menjulang trofi liga divisyen kedua tersebut.

Beliau berkata peluang kejuaraan masih terbuka dengan Sarawak United (37 mata) masih memiliki kelebihan dua mata berbanding pencabar kejuaraan, Negeri Sembilan FC (35 mata).

“Peluang kejuaraan masih terbuka dan kita masih ada kelebihan dua mata di depan, dan menang atau kalah pun, yang penting kita memang dah layak ke Liga Super. Mungkin Negeri Sembilan akan ada peluang itu, jadi macam mana pun semuanya bergantung kepada nasib juga.

“Secara keseluruhan kalau tengok perlawanan semalam, memanglah kalau boleh kita hendak menang, tapi kita kena terima keputusan itu dan kita sepatutnya perlu mempunyai peluang yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sementara itu, pengendali Kuching City Irfan Bakti pula menganggap kemenangan tersebut belum meletakkan pasukannya di kedudukan selesa untuk meraih slot ke Piala Malaysia, walaupun mereka masih mempunyai baki empat perlawanan.

“Alhamdulillah, ini adalah kemenangan manis untuk kami walaupun saya tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama. Peluang untuk layak ke Piala Malaysia masih belum selamat lagi, kita perlu atasi Kelantan United,” katanya.

Kuching City ketika ini berada di tangga kelapan dengan 21 mata dan perlu untuk menang atau sekurang-kurangnya seri dengan Kelantan United untuk layak ke saingan Piala Malaysia.

Hanya 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier (tidak termasuk feeder club atau pasukan pembangunan) akan layak ke Piala Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This