Gelombang banjir seterusnya dikhuatiri akhir bulan ini

JOHOR BAHRU,. Penduduk dinasihati lebih berhati-hati ketika musim tengkujuh kerana dikhuatiri kemungkinan ada gelombang banjir seterusnya yang dijangka penghujung bulan ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata masyarakat seharusnya mendengar arahan pihak berkuasa jika kawasan kediaman mereka dilanda banjir.

“Saya dapat tahu hujung bulan ini ada satu lagi gelombang (banjir). Jadi, saya harap semua masyarakat lebih berhati-hatilah,” kata beliau kepada media selepas melakukan tinjauan udara di beberapa daerah pada Isnin.

Tinjauan itu yang menggunakan helikopter jenis AW 189 Agusta milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berlangsung selama sejam bermula pada pukul 12.30 tengah hari dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Tinjauan dilakukan di kawasan Johor Bahru, Mersing dan Pengerang di Kota Tinggi dengan turut disertai Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis.

Sementara itu, Yahaya berkata melalui pemerhatian beliau, keadaan banjir kini terkawal kerana ada daerah yang air sudah mulai surut.

“… yang kita nampak cuma ada jalan utama menghubungkan Kota Tinggi ke Mersing masih terputus dan kawasan Kampung Mawai masih lagi digenangi air dan tidak selamat.

“Kita berharap dengan cuaca yang baik seperti hari ini, keadaan akan semakin pulih,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau berkata esok, pihaknya akan meneruskan pemantauan udara di beberapa lagi daerah termasuk Batu Pahat, Kluang dan Segamat selain akan melakukan beberapa penerbangan ihsan termasuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk ke Kampung Peta Endau dan membawa keluar pesakit Orang Asli.

Dalam hal berkaitan, paras air di dua sungai dan kolam di sebuah empangan di negeri ini telah melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata tiga sungai berkenaan ialah Sungai Muar di Kampung Awat dekat Segamat; Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat dan kolam air di Empangan Machap di Kluang.

“Berdasarkan data pukul 11.15 pagi tadi, paras Sungai Lenik telah melebihi paras bahaya iaitu paras 6.59 meter (paras bahaya ialah 6 meter), Sungai Muar di Kampung Awat telah mencapai paras 20.19 meter (paras bahaya ialah 19.95 meter) manakala kolam air di Empangan Machap melebihi paras bahaya iaitu 17.42 meter (paras bahaya ialah 17.4 meter),” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Puah berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta untuk memantau situasi dari semasa ke semasa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )