Peruntukan tambahan inisiatif Rahmah, ringankan beban rakyat luar bandar Sabah, Sarawak

Peruntukan tambahan inisiatif Rahmah, ringankan beban rakyat luar bandar Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR,. Peruntukan tambahan RM50 juta bagi memperluaskan insiatif Rahmah ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dilihat mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya masyarakat di luar bandar Sabah dan Sarawak.

Ketua Masyarakat Cina Elopura, Sandakan, Sabah Kapitan James Leong berkata peruntukan tambahan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan pelbagai lapisan masyarakat di negeri Sabah.

“Bagi golongan yang berpendapatan tinggi diharap agar tidak mengambil kesempatan terhadap kemurahan hati kerajaan menyebarkan nikmat negara,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Semalam, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi memperluas inisiatif Rahmah di setiap DUN seluruh negara agar rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Leong juga berpendapat inisiatif Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan itu telah memberi inspirasi kepada pelbagai syarikat dan badan korporat untuk memperkenalkan produk dengan tawaran harga jauh lebih murah berbanding harga semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lumadan Datuk Ruslan Muharam pula berkata inisiatif Rahmah yang telah dijayakan sebelum ini turut membantu peniaga menarik lebih ramai pelanggan datang membeli keperluan di premis mereka.

Sementara itu, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau di Sarawak berkata langkah Kerajaan Perpaduan itu tepat kerana sebelum ini inisiatif itu tertumpu membantu kumpulan penduduk B40 yang tinggal di bandar dan pelajar universiti sahaja.

“Inisiatif Rahmah ini sangat berfaedah untuk masyarakat namun kalau dilihat setakat ini (sebelum inisiatif tambahan), inisiatif ini tidak mempunyai impak yang besar di kawasan pedalaman Sarawak atau DUN seperti Telang Usan yang mempunyai ramai penduduk B40,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Katibas, Lidam Assan berkata harga barangan keperluan di pekan-pekan pedalaman seperti di kawasan DUN yang diwakilinya adalah lebih tinggi berbanding di bandar seperti di Sibu berikutan kos pengangkutan untuk menghantar barangan tersebut.

“Dengan adanya peruntukan tambahan itu bagi mengadakan program Jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kuranglah beban golongan berpendapatan rendah di pedalaman untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata peruntukan tambahan inisiatif Rahmah perlu disalurkan secara telus dan penuh amanah kepada semua ADUN supaya inisiatif Rahmah mencapai objektifnya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This