Johor dapatkan kepakaran UTHM bantu atasi banjir termenung – MB

Johor dapatkan kepakaran UTHM bantu atasi banjir termenung – MB

BATU PAHAT,. Kerajaan Johor akan mendapatkan khidmat kepakaran daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi mengatasi masalah ‘banjir termenung’ yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini termasuk di daerah ini.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata menggunakan kepakaran yang dimiliki UTHM merupakan hasrat kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah fenomena alam itu.

Beliau berkata usaha terbabit diharapkan mampu menjadi kerjasama terkini antara kerajaan negeri dan UTHM dalam meluaskan bidang penyelidikan oleh pusat pengajian tinggi di negeri ini.

“Dalam hal mengatasi masalah banjir ini, kita akan lantik UTHM bagi membantu dan menyediakan kepakaran termasuk penyelidikan serta mencari punca banjir berkenaan berlaku.

“Kerjasama ini turut melibatkan kepakaran dalam bidang logistik dan pengangkutan. Dalam masa sama kita (kerajaan negeri) akan menyediakan peruntukan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Mahasiswa UTHM yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di sini semalam.

Hasni berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan UTHM untuk membangunkan daerah itu dalam pelbagai bidang termasuk aeronautik.

“Pihak UTHM juga ada mencadangkan untuk membangunkan bidang aeronautik di kawasan lapangan terbang Tanjung Laboh di Batu Pahat bagi pesawat latihan untuk program pengajian yang terdapat di UTHM.

“Pada masa sama, bidang pembuatan yang berkaitan aeronautik juga dilihat satu usaha UTHM yang akan dapat memberi peluang dari segi bentuk penyelidikan serta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya sambil menambah kesemua kerjasama dengan UTHM itu termasuk dalam Belanjawan Johor 2022.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This