Grab lancarkan projek perintis GrabBike di Lembah Kelang

KUALA LUMPUR,. Syarikat e-panggilan, Grab telah memperkenalkan projek perintis perkhidmatan motosikal atas permintaan, GrabBike di Lembah Klang.

Berikutan kejayaan di Indonesia, Vietnam dan Thailand, Grab telah menerapkan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman serantau untuk membangunkan rangka kerja bagi menyediakan amalan terbaik dalam meningkatkan standard keselamatan untuk perkhidmatan motosikal atas permintaan di Malaysia.

Projek perintis GrabBike ini merupakan sebahagian daripada program Pembuktian Konsep untuk kerajaan, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Perkhidmatan perintisan GrabBike sudah dimulakan sejak 3 Jan 2020 di kawasan terpilih di Lembah Kelang dan objektifnya adalah untuk menilai kebolehlaksanaan serta budaya e-panggilan motosikal dalam konteks tempatan.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata dengan bantuan daripada pakar-pakar serantaunya, syarikat tersebut akan mengaplikasikan standard yang ketat dan pembelajaran dari seluruh rantau bagi meningkatkan perkhidmatan itu di negara ini.

“Keselamatan terus menjadi keutamaan utama Grab. Penunggang GrabBike bukan sahaja perlu untuk menghadiri latihan keselamatan pemanduan dan penilaian praktikal, semua motosikal GrabBike akan dilengkapi dengan topi keledar untuk kegunaan penumpang termasuk jaket pantulan.

“Sama seperti mana-mana pemandu Grab, penunggang dan penumpang akan dilindungi oleh insurans kemalangan diri,” katanya lagi.

Menurut Grab, pengguna kini boleh memilih untuk menggunakan GrabBike dalam kawasan Lembah Klang, bagi perjalanan sekitar 10 kilometer dari lokasi penumpang. Pengguna akan dilayan oleh penunggang GrabBike yang berkelayakan, mereka ini telah melalui latihan keselamatan pemanduan dan penilaian penunggangan yang praktikal.

Untuk melindungi keselamatan penumpang serta penunggang, tempahan berbentuk wang tunai untuk semua perjalanan motosikal antara 9 malam dan 2 pagi akan dihentikan.

“Selain itu, Grab akan memanfaatkan ciri-ciri keselamatan yang didorong oleh teknologi yang telah dibangunkan bertahun-tahun bagi perkhidmatan e-panggilan seperti penentusahan swafoto penumpang, pusat keselamatan, kit keselamatan penunggang, telematik dan lain-lain,” katanya.

Grab menjelaskan ia mahu membangunkan inisiatif dan modul baharu untuk meningkatkan tahap standard keselamatan bagi e-panggilan motosikal serta perkhidmatan penghantaran atas permintaan di platform-platform seperti GrabBike, GrabFood, GrabExpress dan GrabMart.

“Dengan memanfaatkan teknologi terkini dan pengalaman dalam keselamatan. Grab mahu membangunkan bahan latihan serta panduan yang komprehensif untuk pemandu dan pengantar yang menjadi rakan kongsinya, bahan pendidikan bagi meningkatkan kesedaran dan bahan latihan yang komprehensif untuk tenaga pengajar,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )