Hajiji akan terus perkasa sektor pelancongan Sulaman

Hajiji akan terus perkasa sektor pelancongan Sulaman

TUARAN, 23 Sept — Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Hajiji Noor akan terus memperkasa pembangunan sektor pelancongan di Sulaman sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi untuk menerajui kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.

Hajiji, yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, berkata usaha itu penting bagi membantu penduduk setempat menjana pendapatan menerusi kehadiran pengunjung ke destinasi pelancongan yang terdapat di Sulaman.

Beliau juga berkata industri pelancongan akan diberi keutamaan sekiranya PN dan rakan sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah kerajaan negeri pada pilihan raya kali ini.

“Selepas COVID-19, industri pelancongan akan bertambah baik dan ini akan dapat menjana ekonomi rakyat setempat. Industri pelancongan juga akan memberi aliran pendapatan kepada sektor lain termasuk pengangkutan, pertanian dan perikanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemimpin di Kampung Laya-Laya di sini hari ini.

Mengulas momentum kempen pilihan raya yang memasuki hari ke-12, Hajiji berkata beliau melihat ‘mood’ rakyat khususnya di daerah Tuaran menyokong PN, begitu juga BN dan PBS.

Beliau yakin keempat-empat keputusan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Tuaran iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu akan berpihak kepada GRS.

Hajiji sekali lagi menjelaskan Sabah masih mahukan politik pembangunan kerana terdapat banyak kawasan di negeri itu yang memerlukan lebih banyak kemajuan khususnya infrastruktur jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

Justeru, beliau berkata adalah amat penting untuk Kerajaan Negeri Sabah sehaluan dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pengurusan, pentadbiran dan peruntukan dapat dilaksana dengan lancar demi manfaat rakyat.

“Kalau pemimpin kerajaan negeri cakap mereka tidak memerlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, itu adalah satu pembohongan besar.

“Kita dalam satu negara, kita memerlukan dan mesti bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This