Hanya 5-10% kes COVID-19 daripada sektor perkilangan dan pembuatan

Hanya 5-10% kes COVID-19 daripada sektor perkilangan dan pembuatan

SHAH ALAM,. Hanya lima hingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 adalah daripada sektor perkilangan dan pembuatan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, data yang disahkan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 75 peratus daripada kes-kes positif COVID-19 yang ada pada hari ini adalah bersifat sporadik, yang bermakna virus berkenaan telah berada di dalam komuniti.

Mohamed Azmin berkata, 25 peratus lagi datang daripada pelbagai bentuk kluster, termasuk kluster tempat kerja yang meliputi sektor perkilangan dan pembuatan.

“Jadi tidak benar untuk meletakkan kesalahan pada sektor ekonomi khususnya sektor pembuatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini semalam.

Mohamed Azmin berkata, apabila kerajaan mengambil keputusan membenarkan beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi, kebarangkalian jangkitan COVID-19 berlaku dalam sektor ekonomi itu ada, tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah ditutup sepenuhnya, tetapi keputusan itu dibuat untuk kepentingan ekonomi rakyat.

“Sektor ekonomi, khususnya untuk ‘essential goods and services’, kita telah ambil keputusan membenarkan sedikit aktiviti ini, untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Apabila ada aktiviti ini (ekonomi) kebarangkalian (jangkitan COVID-19) pastinya wujud, tetapi jumlahnya tidaklah besar seperti yang telah diumumkan (daripada keseluruhan kes), kerana virus ini sudah sporadik, berada dalam masyarakat. Sebab itu kita mengajak untuk sama-sama tangani, masalah pandemik ini dengan mematuhi kepada prosedur operasi standard yang ketat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang terlibat sebagai rantaian bekalan global, dan kerajaan tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan, keperluan asas serta barangan kesihatan awam, seperti sanitizer dan produk farmaseutikal yang lain.

Dalam pada itu, katanya Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), buat masa ini melibatkan sektor pembuatan serta perkilangan, dan kerajaan akan menumpukan pula kepada sektor pembinaan dan pelancongan dalam masa terdekat.

Mohamed Azmin turut mengumumkan, seramai 16,564 pekerja telah menerima suntikan vaksin di Pulau Pinang, Johor dan Selangor menerusi PIKAS sejak 16 Jun hingga kelmarin.

“Setakat semalam (kelmarin), seramai 669,846 orang pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara telah mendaftar di PIKAS dan syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS, boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui pautan www.miti.gov.my,” katanya.

PPV SCCC di bawah PIKAS, yang dikelolakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), memulakan proses vaksinasi bagi pekerja sektor pembuatan di Selangor semalam.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata PPV di SCCC adalah salah satu daripada lapan PPV Penggunaan Umum, di seluruh negara yang telah mendapat kebenaran untuk beroperasi selewat-lewatnya pada 5 Julai.

Menurutnya, terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum yang melibatkan pusat konvensyen dan pameran serta hotel, selain PPV Di Tapak iaitu PPV di premis kilang.

Azmin berkata, PIKAS mempunyai matlamat untuk mempercepatkan vaksinasi untuk sekurang-kurangnya dua juta orang pekerja di dalam sektor pembuatan, menjelang penghujung suku ketiga tahun ini.

Melalui PIKAS, katanya kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran PPV, termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja, dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan menolak gaji pekerja, walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksinasi pertama,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This