Harga tiket konsert mahal, Rossa minta maaf kepada peminat di Malaysia

Harga tiket konsert mahal, Rossa minta maaf kepada peminat di Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa memohon maaf kepada semua peminat Malaysia susulan harga tiket jualan Konsert Rossa 25 Shining Years agak mahal untuk segelintir pihak.

Kata pelantun lagu Pudar dan Ayat-Ayat Cinta ini, harga tiket konsertnya itu agak mahal berikutan hasil jualan akan disalurkan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari keluarga yang berpendapatan rendah.

“Saya betul-betul minta maaf jika tiket untuk menonton konsert saya ini mahal, sebab kami tahu ke mana ia akan disalurkan. Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan diberikan kepada anak-anak yang kurang bernasib baik untuk meneruskan pengajian.

Kalau di Malaysia, kita tidak mahu hanya sekadar menganjurkan konsert, sebaliknya turut memberikan sesuatu kepada masyarakat. Ini merupakan satu kerja amal yang sudah lama kami laksanakan iaitu sudah lebih 10 tahun,” kata Rossa dalam sidang media Konsert Rossa 25 Shining Years, di sini, pada Rabu.

Konsert Rossa 25 Shining Years akan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 November ini. Mengulas lanjut, Rossa turut mengumumkan, 80 peratus tiket jualan konsertnya itu telah habis dijual.

“Alhamdulillah, ini merupakan antara usaha bersama Yayasan Prihatin Nasional dalam membantu para pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya. Sementara itu, Rossa turut berkongsi mengenai perjalanan Konsert Rossa 25 Shining Years tersebut yang akan terdiri daripada empat segmen antaranya lagu-lagu berentak electronic dance music (EDM) dan balada.

Penghibur itu juga akan bergandingan bersama rakan seperjuangannya dari Indonesia, Judika serta penyanyi terkenal tanah air, Hael Husaini.

Pada malam konsert eksklusif itu juga, Rossa dijangka menghiburkan peminatnya dengan 27 buah lagu popular termasuk beberapa lagu yang tidak pernah didendangkan di Jakarta, Indonesia.
Konsert ini juga akan mendapat sentuhan empat pengarah muzik iaitu Dandy Lashido, Risyanda, Eka Gustiwana dan Andi Rianto.

-Awani

CATEGORIES
Share This