Hutan Bukit Bendera terbakar
GEORGE TOWN,. Lebih dua hektar hutan di kawasan antara Bukit Bendera ke Kek Lok Si, Air Itam dekat sini terbakar berikutan pembakaran terbuka longgokan pokok yang ditebang di situ malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Pooh berkata pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu kira-kira 7.12 malam sebelum pasukan tersebut terus ke lokasi dan sehingga 10.30 malam tadi, api masih marak.
“Selain pihak bomba, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut terlibat dalam operasi memadam kebakaran hutan itu, setakat ini saya difahamkan lebih dua hektar telah terbakar.
“PBS terpaksa menggunakan motosikal untuk ke lokasi berhampiran hutan yang terbakar itu sebelum berjalan kaki kerana tiada laluan untuk kawasan tersebut,” katanya di sini, malam tadi.
Beliau berkata api merebak begitu cepat berikutan angin kuat dan pihak bomba ketika itu sedang berusaha memadam kebakaran supaya ia tidak terus merebak ke kawasan hutan di atas bukit tersebut.
Phee berkata berdasarkan maklumat awal kebakaran itu berlaku disebabkan pembakaran terbuka longgokan pokok yang ditebang di kawasan itu sebelum berlaku kemerebakan berikutan angin bertiup kuat.
“Kami sedang mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang membakar longgokan pokok dalam kawasan hutan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Muzamer Mohd Salleh berkata kebakaran itu melibatkan hutan tebal dan tiada jalan ke lokasi serta pihak bomba terpaksa berjalan kaki mendaki ke kawasan yang terbakar.
“Terdapat empat spot kebakaran dengan anggaran keluasan setiap spot adalah satu hektar dan tindakan kami adalah berjalan kaki mendaki ke lokasi kebakaran serta membuat kerja pemadaman dengan menggunakan pemerap api dan jet shooter,” katanya.
Selain itu, asap tebal turut dapat dilihat dari jarak hampir 10 kilometer dari kawasan Bukit Bendera. Difahamkan kawasan yang terbakar itu jauh dari lokasi rumah penduduk di kawasan peranginan Bukit Bendera.
— BERNAMA