Ibu bayi didera mungkin alami kemurungan – Polis

KEMAMAN,. Polis tidak menolak kemungkinan ibu bayi perempuan yang maut dipercayai didera, di sini, pada Rabu, mengalami kemurungan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurutnya, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan tiga individu, iaitu ibu dan bapa bayi itu serta petugas Klinik Kesihatan Bandar Cheneh Baru.

“Semasa sampai (di klinik), bayi dalam keadaan lemah. Diberi rawatan kecemasan. Semasa rawatan, disahkan meninggalkan dunia.
“Pasukan perubatan mendapati, mungkin ada unsur-unsur penderaan. Ketua jururawat telah membuat laporan,” katanya sambil menambah, pihaknya juga masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, mayat bayi itu tiba di Hospital Kemaman pada kira-kira pukul 7.30 petang untuk bedah siasat.

Pada Rabu, seorang bayi berusia tiga bulan maut dipercayai didera dalam kejadian di Felda Neram, Bandar Cheneh Baru, Kemaman.

Kejadian itu disedari bapa bayi berkenaan ketika pulang ke rumah untuk menghantar makanan kepada isterinya kira-kira jam 10 pagi.

Bayi dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Cheneh Baru oleh bapanya dalam keadaan lemah.

CATEGORIES
TAGS
Share This