IHH beli pusat perubatan Timberland, bina hospital baharu 200 katil di Sarawak

IHH beli pusat perubatan Timberland, bina hospital baharu 200 katil di Sarawak

KUALA LUMPUR,. Anak syarikat milik penuh tidak langsung IHH Healthcare Bhd, Pantai Holdings Sdn Bhd akan membeli keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Bedrock Healthcare Sdn Bhd bernilai RM245 juta.

IHH Healthcare dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Pantai Holdings memeterai Perjanjian Pembelian Saham dengan Saravita Holdings Sdn Bhd dan sembilan individu pengasas semalam.

Bedrock Healthcare menerusi anak syarikat milik penuhnya menguruskan Pusat Perubatan Timberland yang mempunyai 82 katil di Kuching, Sarawak dan telah menyediakan tanah kosong di tengah Kuching bagi pembinaan sebuah hospital baharu dengan 200 katil.

“Pembelian ini akan meluaskan kedudukan IHH ke Sarawak dan turut membolehkan IHH meningkatkan operasi Timberland menerusi hospital baharu itu,” katanya.

Pembelian ini dijangka selesai menjelang separuh pertama 2024.

Selepas urusan tersebut selesai, Bedrock Healthcare dan anak-anak syarikatnya akan digabungkan sebagai anak syarikat IHH.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Jean-François Naa berkata pembelian itu akan membolehkan IHH mengukuhkan kedudukannya di Sarawak dengan meningkatkan operasi Timberland menerusi hospital baharu yang akan dibina di tengah Kuching dengan pelaburan selanjutnya kira-kira RM400 juta.

Hospital ini akan memenuhi keperluan penduduk tempatan serta perniagaan pelancongan perubatan yang berkembang pesat dari Indonesia.

Ketika ini IHH mengendalikan 16 hospital di seluruh Malaysia yang terdiri daripada 11 hospital Pantai, empat hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This