Aliran masuk modal ke Malaysia dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat

Aliran masuk modal ke Malaysia dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR,. Aliran masuk modal ke Malaysia dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat ini disebabkan penentuan harga pasaran yang berterusan pada akhir kitaran langkah monetari ketat oleh bank-bank pusat global di tengah-tengah risiko kemungkinan peningkatan inflasi serta ketegangan geopolitik yang berlarutan.

UOB Global Economics and Markets Research berkata gabungan faktor peningkatan pelbagai sekatan perdagangan oleh beberapa negara utama; ketegangan konflik Rusia-Ukraine; pengurangan pengeluaran dan eksport minyak oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (Opec+); dan cuaca yang melampau mencetuskan semula kebimbangan terhadap bekalan makanan dan tenaga yang seterusnya menaikkan harga makanan dan tenaga global dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

“Ini mungkin merumitkan lagi usaha menangani inflasi global dan trajektori dasar monetari sekiranya aliran meningkat komoditi terus mengukuh dan membawa kepada satu lagi pusingan risiko penetapan semula harga pasaran,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan, semalam.

Selain itu, pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada jangkaan serta pelaksanaan dasar monetari ketat yang berpanjangan terutamanya di negara maju, membayangkan prospek pertumbuhan global lebih mencabar bagi tempoh Separuh Kedua 2023 dan seterusnya.

“Ini membayangkan sentimen risiko yang lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya.

Bagi aliran masuk portfolio asing, ia berkata pelabur asing terus menyumbang kepada aset pelaburan portfolio Malaysia pada Julai, membawa keseluruhan aliran masuk sebanyak RM12.7 bilion, menandakan aliran masuk portfolio asing bulanan terbesar sejak Mac 2016 dan pembelian asing bersih bagi tujuh bulan berturut-turut, tempoh paling lama sejak lewat 2020.

“Ia didorong oleh aliran masuk bukan pemastautin ke dalam kedua-dua pasaran sekuriti hutang Malaysia bernilai RM11.3 bilion pada Julai dan RM1.4 bilion ekuiti bulan lepas,” katanya.

UOB Global seterusnya menjelaskan pembelian asing ekuiti yang kembali semula ke Malaysia juga membantu memacu lantunan semula dalam Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia buat kali pertama tahun ini pada Julai iaitu sebanyak 6.0 peratus kepada 1,459.43 mata.

Secara kumulatif, ia berkata, aliran masuk portfolio asing berjumlah RM29.6 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023, disokong semata-mata oleh pembelian asing sekuriti hutang Malaysia kerana ekuiti mencatatkan aliran keluar sebanyak RM2.8 bilion setakat tahun ini.

Pada bulan lepas, semua instrumen hutang mencatatkan peningkatan dalam pembelian asing, diterajui oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (+RM7.6 bilion), Terbitan Pelaburan Kerajaan (+RM1.8 bilion), dan sekuriti hutang swasta, termasuk sukuk swasta (+RM1.0 billion).

“Oleh itu, pegangan asing bon kerajaan Malaysia meningkat paling tinggi sejak Jun 2020 sebanyak RM9.4 bilion kepada RM258.1 bilion pada akhir Julai, membentuk 24.0 peratus daripada jumlah bon kerajaan terkumpul,” katanya.

Ia juga menandakan pegangan saham asing tertinggi bon kerajaan Malaysia dalam tempoh 14 bulan.

Pemangkin penting yang perlu diberi perhatian sepanjang bulan berikutnya termasuklah angka Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) bagi Julai, keputusan pilihan raya negeri (PRN), pengumuman angka keluaran dalam negara kasar suku kedua dan data akaun semasa, kajian semula Pelan Induk Perindustrian Baharu dan keputusan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This