Jalan baharu sebagai laluan alternatif hubungkan Sibu-Kapit akan dibina

Jalan baharu sebagai laluan alternatif hubungkan Sibu-Kapit akan dibina

KAPIT,. Satu jajaran jalan baharu akan dibina sebagai laluan alternatif yang akan menghubungkan Sibu dengan Kapit melibatkan jarak kira-kira 66 kilometer (km).

Pembinaan jalan yang dibahagikan kepada tiga fasa itu bermula dari kawasan Nanga Kabah hingga seberang pekan Kapit, dengan satu jambatan akan dibina merentasi Sungai Rajang di satu lokasi di antara pekan Song dan Kapit bagi menghubungkan jalan itu dengan jalan yang sedia ada.

Jalan itu kelak akan memberi akses pengangkutan darat kepada penduduk di sepanjang Sungai Rajang yang terjejas apabila bot ekpress menghentikan operasi mereka setelah Jalan Sibu-Kapit yang sedia ada siap sepenuhnya pada Oktober 2021.

Upacara pecah tanah projek fasa 1 (Jalan Nanga Kabah/SK Beguang/Sungai Song) telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Beguang, Song pada Jumaat.

“Projek Fasa 1 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini sepanjang 16.35km dari persimpangan Jalan Sibu-Jalan Nibong berdekatan kawasan Sungai Kabah (Kanowit) hingga ke Rumah Bukit (Song) dan menelan belanja RM145.89 juta,” kata Nanta kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Beliau berkata jalan kelikir taraf R1 yang boleh dinaik taraf di masa akan datang itu akan dibina oleh Musyati Sdn Bhd dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak sebagai agensi pelaksana dan dijadualkan siap pada 31 Mac 2027.

Menurutnya projek tersebut menurut telah dimohon sejak 2010 dan diluluskan pada 2018, namun ditangguhkan berikutan bertukarnya kerajaan.

“Dengan bermulanya pembinaan fasa 1 projek ini bermakna penantian lama rakyat di sepanjang laluan itu akan berakhir.

“Difahamkan projek ini akan diteruskan dengan fasa 2 dan fasa 3 dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan dan memberi peruntukan kerja awalan bagi pembinaan jambatan besar merentasi Sungai Rajang di antara pekan Kapit dan pekan Song,” katanya.

Menurutnya kelulusan peruntukan itu telah dimasukkan untuk Pelan Boleh Pinda Kelima (RP5) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Ahli Parlimen Kapit itu turut berkata bagi melengkapi pembangunan yang dibawakan kerajaan pusat itu, kerajaan negeri melalui Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) yang dipengerusikannya akan membina jalan yang menghubungkan kawasan Hulu Katibas, Hulu Baleh, kawasan Pelagus dan Bukit Goram.

Beliau berkata kesemua itu terkandung dalam pelan induk yang telah dirancang oleh URDA tidak kira menggunakan sumber pembiayaan daripada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This