IHH Healthcare catat keuntungan bersih RM309 juta pada suku ke-3

IHH Healthcare catat keuntungan bersih RM309 juta pada suku ke-3

KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd meningkat kepada RM309.95 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2020, berbanding RM236.34 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, hasil susut kepada RM3.51 bilion daripada RM3.78 bilion sebelumnya.

“Berikutan penularan pandemik COVID-19 sejak lewat Januari 2020, bilangan pesakit berkurangan berbanding tahun lepas berikutan penangguhan rawatan tidak mendesak serta lawatan ke hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan,” kata pengendali penjagaan kesihatan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Jumlah pesakit asing kekal rendah sejak Mac 2020 berikutan pelbagai sekatan perjalanan yang dikenakan di negara-negara yang ia beroperasi.

“Penurunan hasil ekoran jumlah pesakit yang rendah itu diimbangi sebahagiannya oleh perkhidmatan berkaitan COVID-19 yang disediakan syarikat,” kata syarikat itu.

Mengenai prospek masa depan, IHH Healthcare berkata ia yakin trajektori pertumbuhan jangka panjangnya kekal kukuh kerana syarikat melaksanakan strategi baharu.

Menurutnya, beberapa kos seperti kakitangan dan susut nilai kekal stabil memandangkan ciri-ciri operasi hospital itu walaupun jumlah pesakit yang rendah.

“Kumpulan terus mengekalkan pengekangan kos dan mempunyai pengurusan tunai yang ketat yang termasuk menangguhkan pembelian bukan kritikal dan projek pengembangan modal bukan kritikal,” kata IHH Healthcare.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This