Indeks Harga Pengguna kekal menggalakkan, berkembang 2.4 peratus pada 2022

Indeks Harga Pengguna kekal menggalakkan, berkembang 2.4 peratus pada 2022

KUALA LUMPUR,. Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia dijangka kekal menggalakkan pada 2022 dengan unjuran pengembangan sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun, didorong kesan setahun penuh pembukaan semula ekonomi sepenuhnya serta dibantu oleh pergerakan harga minyak yang memberangsangkan.

Public Investment Bank Bhd berkata IHP juga akan dipacu oleh impak ketinggalan lapan pakej rangsangan fiskal COVID-19 yang akan meningkatkan aktiviti penggunaan dan pelaburan.

“Pengembangan itu turut disokong oleh inisiatif swasta-awam yang akan mewujudkan sekurang-kurangnya satu juta pekerjaan baharu tahun ini dan persekitaran kadar faedah akomodatif yang seharusnya menyaksikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada separuh pertama 2022,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu menambah permintaan akan terus didorong oleh pelbagai bantuan fiskal seperti pemindahan kewangan yang disasarkan (Bantuan Keluarga Malaysia), insentif khas (Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan untuk pembelian kenderaan baharu) dan inisiatif khusus (pengurangan dua peratus dalam caruman Kumpulan Wang Simpanan).

“Bagaimanapun, inflasi boleh melebihi jangkaan, terutamanya jika gangguan bekalan berpanjangan, tetapi kami menjangkakan ia akan kembali normal bermula dari pertengahan tahun dan seterusnya.

“Inflasi juga mungkin boleh meningkat semula sekiranya masalah pengeluaran dalam sektor pembuatan dan perlombongan berterusan,” katanya, sambil menyatakan bahawa inflasi utama telah meningkat sebanyak 2.3 peratus tahun ke tahun pada Januari 2022.

Public Investment menyatakan bahawa IHP Malaysia memulakan tahun ini pada tahap yang stabil, didorong oleh pembukaan semula ekonomi sepenuhnya kerana semua negeri telah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pertumbuhan bagi bulan itu juga dibantu oleh kesan asas yang menggalakkan berikutan inflasi yang rendah tahun lepas (Januari 2021: -0.2 peratus), katanya.

Pada asas bulan ke bulan, bank itu berkata IHP meningkat sebanyak 0.3 peratus, turun sedikit berbanding 0.4 peratus pada Disember.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This