Indonesia berduka pemergian ibu Jokowi, hanya mampu berdoa di rumah
JAKARTA,. Rakyat Indonesia berduka atas pemergian ibu kepada Presiden Joko Widodo, dan hanya mampu berdoa dari rumah, ekoran penularan pandemik COVID-19, yang tidak membolehkan sebarang perhimpunan atau berkumpul di mana-mana majlis berskala besar.
Jenazah ibu Jokowi, Sudjiatmi Notomihardjo dijadual dikebumikan di Pemakaman Keluarga Mundu, Selokaton, Gondangrejo, Karanganyar, tengah hari esok.
Jokowi dalam kenyataan media di rumah Allahyarham ibunya di Solo, menyatakan ibunya meninggal dunia disebabkan sakit kanser tekak yang dideritai sejak empat tahun lepas.
“Rencana pemakaman insya-Allah esok jam 1 tengah hari di pemakaman di Mundu, Selokaton, Gondangrejo, Karanganyar,” kata Jokowi.
Allahyarham meninggal dunia di Rumah Sakit (hospital) Slamet Riyad, Solo pada usia 77 tahun pukul 4.45 petang waktu Indonesia Barat.
Rumah Allahyarham yang cukup sederhana di Jalan Pleret Raya di Surakarta Jawa Tengah juga dikawal pihak polis agar tidak didatangi orang ramai.
Ketua Polis Jawa Tengah, Rycko Amelza Dahniel meminta supaya orang ramai tidak menziarahi jenazah di kediaman Allahyarham atau menghadiri majlis pengebumian esok.
Stesen televisyen tempatan yang memetik beberapa kenyataan menteri Indonesia juga menyatakan Presiden Jokowi telah meminta mereka agar tidak menziarahi jenazah atau menghadiri majlis pengebumian esok, sebaliknya menumpukan kepada tugasan mereka.
Pemerintah Indonesia telah melaksanakan beberapa langkah pembatasan dan kawalan pergerakan, antaranya melarang perhimpunan berskala besar, menutup sesi persekolahan, tempat-tempat ibadat, pusat hiburan, menekankan aspek jarakan sosial dan pelaksanaan sepenuhnya konsep bekerja dari rumah di sektor-sektor yang tidak kritikal bagi membendung penularan COVID-19, yang setakat ini mengorbankan 55 nyawa.
— BERNAMA