ISWAMI Malaysia hantar 15 wartawan ke Indonesia melalui Program Jejak Serumpun

ISWAMI Malaysia hantar 15 wartawan ke Indonesia melalui Program Jejak Serumpun

KUALA LUMPUR,. Seramai 15 wartawan daripada pelbagai agensi berita Malaysia menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di Jakarta bermula hari ini sehingga 21 Februari depan.

Lawatan ilmu direncana sebagai pendedahan kepada para wartawan Malaysia mengenai pelbagai dimensi perspektif di sebalik kerancakan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) Indonesia 2024, pada 14 Februari 2024 dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2024, yang berlangsung pada 20 Februari di Jakarta.

Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail berkata, selain pendedahan kepada proses demokrasi antara yang terbesar di dunia dan membina keakraban bersama para wartawan Indonesia sempena HPN 2024, para wartawan Malaysia yang terpilih juga bakal didedahkan dengan kerancakan sektor teknologi hijau, kelestarian dan ekonomi digital di negara jiran itu.

“Kembara ilmu yang singkat tapi padat ini bukan sahaja berkisar tentang pendedahan kepada pesta demokrasi, tetapi juga pertemuan dan dialog dengan mereka yang menjadi cerminan kepada kehebatan Indonesia contohnya, pemain industri ‘fintech’ ekonomi digital, sektor pembangunan lestari serta keupayaan mereka merakyatkan teknologi hijau.

“Dalam lanskap geopolitik dunia yang kian mencabar ini, para wartawan Malaysia juga harus didedahkan juga dengan usaha-usaha diplomasi ‘Track 2’ oleh pelbagai institut dan badan bukan kerajaan di Indonesia yang mengangkat agenda kebersamaan antara rakyat di pentas ASEAN serta internasionalisme yang positif,” katanya.

Menerusi Program Jejak Serumpun yang ditaja oleh Berjaya Corporation Berhad, Green Growth Asia Foundation dan vFive Group ini juga, wartawan Malaysia akan mengikuti beberapa siri lawatan dan pertemuan bersama ISWAMI Indonesia yang diketuai presidennya Bapak Asro Kamal Rokan.

Selain itu, mereka mengadakan pertemuan bersama pimpinan media Indonesia serta agensi penting dalam mengukuhkan lagi kebersamaan dua negara serumpun ini.

Selain 15 wartawan itu, ketua-ketua pengarang dari Malaysia juga turut menyertai delegasi ISWAMI ke program HPN 2024, acara tahunan yang mengumpulkan lebih 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia.

Secara tradisinya, ISWAMI Malaysia dijemput menghadiri HPN setiap tahun, yang diadakan di kota-kota berlainan setiap tahun. Sambutan HPN adalah pada 9 Februari setiap tahun, bagimanapun ditunda pada 20 Februari berikutan berlangsungnya PILPRES 2024.

ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara.

CATEGORIES
TAGS
Share This