Jadual padat UCI punca kekurangan pasukan jelajah dunia pada LTdL 2020

Jadual padat UCI punca kekurangan pasukan jelajah dunia pada LTdL 2020

PUTRAJAYA,. Jadual perlumbaan yang padat dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada musim ini menjadi antara punca pasukan Jelajah Dunia dikatakan kurang berminat menyertai edisi ke-25 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 6-15 Feb ini.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Human Voyage (M) Sdn Bhd, Shahaizereen Abdul Hamid yang memaklumkan pihaknya masih berusaha untuk mendapatkan lebih ramai penyertaan pasukan berstatus Jelajah Dunia yang dikatakan lebih berminat untuk menyertai perlumbaan berbasikal terkemuka yang lain.

Sehingga hari ini, sejumlah 22 pasukan termasuk satu pasukan Jelajah Dunia, iaitu NTT Pro Cycling Team dari Afrika Selatan sudah mengesahkan penyertaan pada LTdL 2020.

“Kami masih menunggu pengesahan tiga lagi pasukan berstatus Jelajah Dunia, selain dua pasukan Profesional Benua (Pro Teams) dan kebanyakannya adalah dari benua Eropah.

“Saya tidak boleh memberi jumlah sebenar penyertaan pasukan Jelajah Dunia dan Pro Teams kerana ia sentiasa berubah-ubah setiap hari,” katanya pada sidang media selepas hadir pada majlis penyerahan penajaan oleh Genting Malaysia Berhad yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Menara KBS, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Naib Presiden (Perhubungan Korporat dan Komunikasi) Genting Malaysia Berhad, Datuk Seri Kay Prakash menyerahkan cek penajaan berjumlah RM5 juta kepada Shahaizereen bagi penganjuran LTdL 2020.

Dalam pada itu, Shahaizereen mendedahkan pihaknya masih menunggu pengesahan dua pasukan dari China, selain satu pasukan dari Hong Kong yang masih belum memberi kata putus berhubung penyertaan mereka susulan penularan wabak 2019 novel koronavirus di beberapa wilayah di China.

“Kami perlu membuat pengesahan penyertaan pasukan dalam LTdL 2020 kepada UCI sekurang-kurangnya tiga hari sebelum bermulanya perlumbaan sebenar,” jelas Shahaizereen.

Ditanya mengenai jumlah penajaan, beliau mendedahkan pihaknya berjaya mendapatkan enam penajaan melibatkan kos melebihi RM10 juta untuk saingan LTdL 2020 setakat ini.

Sementara itu, Pengarah Perlumbaan LTdL 2020, Graham Jones yakin UCI tidak akan menurunkan status perlumbaan tahunan tahun depan, walaupun kekurangan penyertaan daripada pasukan Jelajah Dunia untuk edisi tahun ini.

“Saya dimaklumkan bahawa UCI akan struktur semula peraturan mereka mengenai penyertaan pasukan Jelajah Dunia dan pasukan Pro Teams memandangkan jadual di bawah kalendar UCI sangat padat, dan tahun ini turut melibatkan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020,” menurut bekas pelumba basikal United Kingdom yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun mengendalikan pelbagai acara berbasikal di pelbagai benua termasuk Asia dan Eropah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This