Jenazah Faridah dijangka tiba di Kedah Rabu ini

Jenazah Faridah dijangka tiba di Kedah Rabu ini

PENDANG,. Jenazah Pegawai Tidak Tauliah Kanan daripada Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) Sarjan Faridah Abd Rahman dijangka dibawa pulang ke tanah air Rabu ini, untuk dikebumikan di kampungnya di Mukim Tobiar, dekat sini.

Suaminya, Noor Azmi Ariffin, 39, berkata perkara itu dimaklumkan oleh wakil pihak tentera yang berkunjung ke rumah keluarga mereka tengah hari tadi.

“Jangkaan paling awal jenazah sampai ke sini hari Rabu, setakat ini itu saja maklumat daripada laporan awal tadi. Saya difahamkan, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Tualang di sini untuk dikebumikan,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Mati, Tobiar dekat sini hari ini.

Noor Azmi berkata ketika bercuti selama sebulan di kampung, arwah isterinya yang berusia 39 tahun lebih banyak meluangkan masa bersama empat anak mereka berbanding sebelum ini.

Menurutnya setiap kali ke kedai, Faridah akan membeli mainan untuk anak-anaknya dan itulah perubahan yang dapat dirasai sebelum arwah kembali bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Jumaat lepas.

“Dia (arwah) balik cuti kali ni memang banyak habiskan duit untuk anak-anak. Boleh kata setiap kali keluar beli mainan, dekat (untuk) anak menakan (anak saudara) pun dia beli.

“Saya tengok dia memang nak luangkan banyak masa dengan anak-anak, boleh kata dialah buat semua, hantar dan ambil anak-anak di sekolah, sebelum ni tak pun,” katanya yang masih terkejut dengan pemergian isteri yang tiada sejarah sebarang penyakit dan berada dalam keadaan sangat sihat.

Dalam pada itu, Noor Azmi meminta orang ramai mendoakan supaya segala urusan kepulangan jenazah arwah ke tanah air dipermudah dan berjalan lancar.

Allahyarham Faridah meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13, Muhammad Afnan, 10, Nurul Jannah, 7, dan Ainul Mardiah, 4.

Semalam Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam Malbatt 850-11 di Kem Marakah, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah selepas turun dari bas di Kem Marakah, sejurus tiba ke Lubnan selepas selesai bercuti selama sebulan di Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This