Journey pecat pemain dram, bass atas dakwaan ‘kudeta korporat’

Journey pecat pemain dram, bass atas dakwaan ‘kudeta korporat’

AMERIKA SYARIKAT,. Kumpulan Rock era 70-an Journey memecat pemain dram Steve Smith dan pemain bass Ross Valory dipercayai atas dakwaan cuba melakukan “kudeta korporat”.

Tindakan itu diambil pemain gitar utama Neal Schon and pemain keyboard Jon Cain selepas Smith dan Valory didakwa cuba mengambil alih Nightmare Productions Inc, entiti korporat kugiran itu.

Krisis bermula ketika mesyuarat lembaga pengarah pada 13 Februari lalu di mana undian memihak kepada Smith sebagai presiden dan Valory sebagai setiausaha.

Penyanyi asal kumpulan itu Steve Perry dan pengurusnya yang dilapor berada dalam mesyuarat itu juga memihak kepada Valory dan Smith.
Schon tidak hadir pada mesyuarat itu, bagaimanapun Cain yang hadir memilih untuk tidak mengundi.

Susulan tindakan itu, Schon dan Cain yang merupakan ahli asal kumpulan itu sejak 1973, memfailkan saman AS$10 juta (kira-kira RM42 juta) ke atas Smith dan Valory pada Selasa, 3 Mac lalu.
Ia bagi membatalkan keputusan lembaga pengarah dan menghalang bekas ahli kumpulan itu daripada menggunakan jenama Journey.

Saman yang difailkan Miller Barondess itu mendakwa “pada 1998, Schon, Cain dan bekas penyanyi Steve Perry membuat perjanjian bertulis memberikan Schon dan Cain hak eksklusif dan mutlak ke atas jenama Journey. Oleh itu, mereka diberi kuasa untuk membuat persembahan bersama sebagai Journey, dengan atau tanpa anggota yang lain.”

Band yang popular dengan lagu “Don’t Stop Believin” dan “Open Arms” ini pernah hadir membuat persembahan di Shah Alam dalam siri jerayawara dunia mereka pada 2017.

Journey yang ditubuhkan pada tahun 1973 di San Francisco telah merakam 14 album studio dan meletakkan nama mereka antara kumpulan rock paling berjaya di Amerika Syarikat.

CATEGORIES
TAGS
Share This